Malaysia Dateline

“Alahai berapa urat je mi dia”, kasihan murid RMT dapat makanan macam ini

Tular di media sosial baru-baru ini apabila pihak pengusaha kantin sebuah sekolah didakwa menyediakan hidangan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk para pelajar, dengan kuantiti yang tidak munasabah.

Menerusi perkongsian seorang individu di Twitter, dapat dilihat mi goreng yang disediakan amatlah sedikit dan tidak memenuhi ruang bekas makanan tersebut.

Makanan berkenaan difahamkan untuk pelajar RMT sebuah sekolah rendah di Pahang.

“RMT menu 6/7/22 di salah sebuah Sekolah Kebangsaan di Pahang. To be specific near railway that is so ‘rapuh’. (Yang faham faham yang tak faham buat buat faham).

“Berlaku kenaikan harga barang kot,” ciap individu menggunakan nama Izwar sambil mengandaikan kuantiti berkurangan disebabkan faktor harga barang.

Bagaimanapun untuk berlaku adil dia memaklumkan, pihak pentadbiran sekolah dan juga Pejabat Pendidikan Daerah telah memberi amaran kepada pengusaha kantin tersebut namun tiada apa yang berubah.

Tidak tahu atas apa alasan untuk pihak kantin tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan, katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata meluahkan rasa kesal kerana dalam keadaan Malaysia begitu maju dengan bangunan tinggi dan jumlah menteri yang begitu besar, hanya itu yang ‘disuap’ ke mulut anak-anak generasi masa depan.

Ada juga meluahkan rasa kasihan kerana pelajar disediakan makanan dalam kuantiti sedikit begitu.

Difahamkan, kadar RMT untuk Semenanjung masih lagi sebanyak RM2.50 bagi setiap hidangan manakala Sabah, Sarawak dan Labuan adalah sebanyak RM3.00 seorang.

Justeru mereka dengan tegas meminta kerajaan menaikkan peruntukkan program RMT agar pelajar sekolah dapat nutrien secukupnya.

“Untuk RMT, pihak KPM dah boleh kot naikkan harga kepada RM3.50 atau RM4 seorang.

“Masa zaman saya dulu 2015-2017, RM2.50 seorang. Nak kena ada makanan, buah-buahan dan air. Untuk zaman sekarang RM2.50 tak cukup sebab bekas makanan tu sendiri pihak kantin yang sediakan untuk manjaga kebersihan,” tulis seorang pengguna Twitter.