Kassim Ahmad meninggal dunia

Kassim Ahmad meninggal dunia

Aktivis sosial Kassim Ahmad meninggal dunia selepas dilaporkan koma di Hospital Kulim semalam.

Kassim, 84, menjalani rawatan untuk jangkitan paru-paru dan injap jantung tersumbat pada 16 September lalu.

Beliau merupakan antara aktivis sosialis di Malaysia, dan pernah memimpin Parti Sosialis Rakyat Malaysia bersama Dr Syed Hussin Ali, lama sebelum parti itu bergabung dengan Parti Keadilan Nasional sebelum menjadi PKR.

Beliau juga pernah ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 5 tahun (1976-1981).

Kassim terkenal dengan karya “Hadis: Satu Penilaian Semula”, sebuah kajian kritikal ke atas kewibawaan hadis sebagai sumber Islam, yang diharamkan kerajaan pada 1986.

Pada 2014, Kassim didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya kerana kenyataan pada sebuah seminar mengenai gagasannya yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Pada 7 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Syariah membebaskan dan melepaskan Kassim selepas mengarahkan tuduhan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ditarik balik, selepas pihak pendakwaan meminta kes terhadap cendekiawan itu ditangguhkan kerana ketua pendakwaraya syariah belum dilantik.

Beliau turut berjaya mendapatkan pengisytiharan dari mahkamah sivil bahawa tindakan Jawi menahan dan mendakwanya sebagai di luar bidang kuasa agensi itu dan Perlembagaan Persekutuan.

8.7
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 9.0