Kastam hanya alat kempen, soalan mudah GST pun gagal jawab, kata PSM

Kastam hanya alat kempen, soalan mudah GST pun gagal jawab, kata PSM

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Jabatan Kastam hanya dijadikan alat oleh kerajaan untuk berkempen supaya rakyat membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) namun gagal menjawab kemusykilan mudah berhubung cukai tersebut.

Ahli jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan ketika dihubungi Malaysia Dateline berkata, Jabatan Kastam hanya dijadikan alat propaganda oleh kerajaan BN bagi memperlihat kebaikan GST.

Pagi tadi Arul mengetuai 30 aktivis ke Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya dan bertemu Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Abdul Ghani.

Mereka mengadakan dialog dan mengajukan 15 persoalan mengenai pengurusan cukai GST selepas setahun dilaksanakan.

Arul berkata, walaupun pihak Kastam menyambut mereka dengan baik dan tidak berlaku sebarang tangkapan seperti tahun lalu, namun jawapan yang diberikan tetap mengecewakan.

“Kami tanya soalan yang mudah saja tapi semua soalan itu pengarah Kastam tak boleh jawab.

“Tapi dia janji akan bawa persoalan kami kepada kementerian yang terbabit dan kami akan tunggu,” katanya.

Beliau turut menyokong penuh sebarang himpunan aman bagi membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) termasuk himpunan di ibu negara, esok.

Bagaimanapun katanya, PSM terlibat dengan beberapa program lain esok dan terpaksa dipecahkan kepada beberapa kumpulan.

“Tiada halangan kepada ahli-ahli PSM untuk hadir himpunan esok tetapi esok ada banyak program yang bertembung jadi kita akan terbahagi kepada beberapa kumpulan,” jelasnya.

Beliau tidak dapat mengesahkan sama ada akan turut serta dalam himpunan Undur Najib Mansuhkan GST yang diketuai Presiden Amanah, Mohamad Sabu esok.

“Esok saya berada di Art For Grab jadi tidak pasti akan hadir atau tidak tetapi PSM menyokong sebarang usaha membantah GST,” katanya lagi.

TAGS