Malaysia Dateline

Kastam Pulau Pinang lancar Ops Letup

 Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menubuhkan pasukan khas  menjalankan operasi dan pemeriksaan di bazar Ramadan sempena Ops Letup dalam usaha memastikan tiada peniaga menjual mercun serta bunga api.

Timbalan Pengarah Kastam Pulau Pinang Bahagian Penguatkuasaan Zulkurnein Abdul Rahman berkata menerusi Ops Letup itu sebanyak 15 pasukan terdiri daripada tiga hingga empat penguatkuasa kastam bagi setiap pasukan akan membuat pemeriksaan bermula hari ini hingga 2 Jun.

“Selain pemeriksaan di bazar Ramadan sepanjang Ops Letup itu, kami juga membuat operasi di kedai runcit, sekatan jalan raya dan pelabuhan bagi memastikan tiada mercun atau bunga api dijual serta dibawa masuk ke negeri ini.

“Kami percaya permintaan terhadap mercun dan bunga api sempena musim perayaaan adalah tinggi, jadi sebab itu kastam meningkatkan penguatkuasaan dalam usaha membanteras penyeludupan serta penjualan bahan api berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Letup  pada Selasa.

Terdahulu beliau dan peguatkuasanya membuat pemeriksaan di Bazar Ramadan Seberang Jaya dan turut mengedarkan risalah mengenai kesalahan menjual bunga api serta mencun kepada peniaga.

Zulkurnein berkata mereka yang menjual serta memiliki mercun atau rokok seludup boleh di siasat menurut Akta Kastam dan Akta Bahan Hakisan serta Senjata Api 1958 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000.

Sementara itu, katanya Kastam juga turut meningkatkan operasi membanteras penyeludupan rokok dan arak kerana pihaknya tidak mahu orang ramai menghisap rokok serta minum arak seludup yang belum di ketahui sumbernya.

“Sebenarnya penyeludupan rokok serta arak bukan sahaja merugikan negara kerana pengimport tidak membayar cukai malah mampu memberikan kesan buruk kepada pengguna berikutan kedua-duanya tidak mendapat pengesahan Kementerian Kesihatan bagi memastikan sumber yang terdapat di dalamnya,” katanya.

Katanya beliau turut meminta kerjasama orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak kastam jika mengetahui ada kegiatan penjualan mercun, bunga api serta arak dan rokok seludup di kawasan mereka.