Kastam sahkan RM19.4 bilion tunggakan bayar balik GST

Kastam sahkan RM19.4 bilion tunggakan bayar balik GST

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menuntut tunggakan pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM19.4 bilion bagaimanapun ia tidak diluluskan oleh Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan.

Menurut Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy di dalam satu kenyataan hari ini Tabung Amanah adalah satu kumpulan wang yang diwujudkan bagi tujuan pembayaran balik GST di bawah seksyen 54 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (2014).

Katanya, semua bayaran GST dimasukan ke dalam Akaun Kumpulan Wang Disatukan yang kemudiannya akan dipindahkan kepada Tabung Amanah untuk membolehkan pembayaran balik GST dapat dilaksanakan.

“Dalam tempoh 1 April 2015 sehingga 31 mei 2018 pihak JKDM telah melaporkan dalam Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan yang dipengerusikan oleh Ketua setiausaha Perbendaharaan bahawa keperluan pulangan balik GST adalah berjumlah RM82.9 bilion.

“Jumlah ini adalah berdasarkan kepada borang GST-03 (untuk menuntut bayaran balik GST) yang telah difailkan ke dalam sistem GST JKDM oleh pembayar cukai,”katanya.

Walaubagaimanapun katanya, daripada keperluan pembayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion yang telah dilaporkan hanya RM63.5 bilion pembayaran balik GST telah dibayar melalui Tabung Amanah bagi sepanjang tempoh yang sama.

Katanya, JKDM ada menuntut RM82.9 bilion daripada Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan ini untuk tujuan pembayaran balik GST dalam tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Mei 2018 tetapi jumlah penuh tidak dipindahkan kepada Tabung Amanah.

Oleh itu, katanya pada 31 mei 2018 Tabung Amanah masih memerlukan dan mengalami kekurangan untuk membayar tunggakan bayaran balik cukai GST sebanyak RM19.4 bilion

 

9.8
OVERALL SCORE
: 9.0
3 user votes x 10.0