Seorang peniaga burger di Kulai, Johor meluahkan rasa sedih selepas dimarahi peniaga di kawasan itu kerana menjual burger dengan harga yang sangat murah sekitar RM3.90 sebiji.
Menurut perkongsian di platform Threads, individu itu memuat naik dua keping tangkap layar hantaran mesej yang diterimanya dari seorang lelaki.
Lelaki itu memarahinya, mendakwa dia cuba memecahkan harga pasaran burger yang sepatutnya dijual pada kadar RM5 sebiji.
“Woi mat berniaga jangan pecah-pecah market lah harga. Kau ingat kau seorang je ke meniaga (sampai) buang harga macam ini.
“Market burger ini RM5. Apa kau buat ini. Agak-agaklah kau, nak masuk Kulai buat kepala kau,” kata lelaki itu.
Tidak berdiam diri, peniaga berkenaan membalas, mengatakan bahawa dia tidak cuba memecahkan harga pasaran, namun perkara itu dilakukannya kerana dia mempunyai pembekal barangan mentah yang murah.
Dia memulangkan soalan kepada lelaki itu, jika peniaga boleh dapatkan barang mentah pada harga yang murah, mengapa dia perlu jual pada harga yang mahal.
“Kalau abang orang meniaga, dapat harga murah, takkan abang masih nak jual mahal?,” soalnya.
Membalas soalan itu, lelaki tersebut mengatakan bahawa harga jualannya mengarut dan tidak memikirkan periuk nasi peniaga burger yang lain.
“kelakar lah kau berniaga. Kau tak fikir ke orang Kulai yang lain rata-rata jual burger RM5. Datang kau, mengarut harga RM3.90
“100 orang kecam kau, makbul doa. Terimalah nanti. Jagalah periuk nasi orang lain. Jangan sampai RM3.90. Agak-agaklah mat. Aku memang orang berniaga, cara kau tak cantik macam ini,” kata lelaki itu lagi.
Menjengah ke ruangan komen, pengguna media sosial berselisih mengenai isu ini.
Mereka berpendapat ada betulnya apa yang dikatakan lelaki itu bahawa harga pasaran memang perlu dijaga supaya tidak ‘kacau’ harga sedia ada
“Betul juga tu, market price kena jaga. Apa kata abang tukar strategi. Harga naik macam harga market, tapi abang buat promo beli 2 dapat harga murah. Satu burger RM5, beli 2 RM8,” cadang netizen.
Tidak hanya itu ramai juga yang mempertahankan harga burger RM3.90, menyifatkan ia adalah strategi perniagaan seperti dilakukan kebanyakan syarikat besar seperti Kedai Eco, DIY, Mixue dan Tealive.