Malaysia Dateline

“Kau penyewa tak layak bising!”- Penduduk flat cop parkir guna kolah, siap ugut penyewa kalau cuba alihkan

Penduduk di kawasan perumahan kos rendah seperti flat semakin bermaharaja lela dengan sikap angkuh yang suka cop parkir. Bukan itu sahaja, ditambah pula sikap suka mengubah suai dengan menambah struktur rumah yang sebenarnya tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa.

Di mana silapnya? Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlepas pandang hal ini atau sememangnya ada hak diberikan kepada ‘orang lama’ untuk berbuat demikian?

Menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook menggunakan akaun Hassan Karim, dia meluahkan rasa tidak puas hati apabila seorang penghuni flat di kawasan Taman Pinggiran Batu Caves didakwa selamba menjadikan parkir awam di kawasan perumahan tersebut sebagai hak milik mereka.

Individu tersebut mendakwa, penghuni flat tersebut memetakkan empat buah parkir di hadapan rumah yang difahamkan hanya dikhaskan untuk keluarga mereka sahaja.

Dari gambar yang dikongsi, dapat dilihat beberapa parkir telah dicop dengan menggunakan kerusi dan kolah mandi.

Disebabkan itu, dia meluahkan rasa tidak puas hati dan mendakwa diugut ketika cuba mengalihkan barangan yang diletakkan di parkir tersebut.

“Katanya dah duduk lama. Duduk lama tu semua parking kau. 1 rumah sampai 4 parking. Suami isteri anak-anak dia bodoh pekat.

“Sila tag owner rumah ni. Cubaan nak alihkan akhirnya kami diugut. Malas nk bergaduh. Tahu aku ni penyewa je. Macam yang kau cakap kat aku. ‘kau tu tak layak nak bising-bising sebab kau tu penyewa je kat sini’.

“Tapi beragak lah nk cop parking sampai macam ni. Siap letak kolah mandi lagi. Punya lah bodoh orang tua ni,” katanya dalam satu hantaran di Facebook Group Penduduk Gombak/ Wangsa Maju/ Taman Melati/ Batu Caves/ Selayang.

Pada masa sama, individu tersebut turut memberitahu bahawa lokasi perumahan tersebut terletak di Flat Taman Pinggiran selain memaklumkan laporan aduan telah dibuat.

Laporan dibuat membabitkan isu cop parkir dan pengubahsuaian rumah tanpa kebenaran.

Sekadar info, kediaman berstrata seperti flat, apartmen dan kondominium terikat dengan Akta 757 di mana lot petak hanya terhad kepada keluasan petak yang dibeli sahaja.

Pihak berkuasa pernah memberi amaran bahawa tindakan mengubah suai rumah tanpa kelulusan mengikut Akta 133 dan Akta 757 bakal mendatangkan pelbagai risiko dan masalah kepada penduduk setempat.

Gambar yang dikongsi penyewa, Hassan Karim

Baca juga: Penghuni flat buat hal lagi, kali ini cop parkir guna tong sampah buat ramai bengang

Baca juga: Ubah suai flat secara haram, MPAJ perjelas tindakan roboh guna jentolak