Malaysia Dateline

‘Kaum India memang undi PH’

Sokongan majoriti pengundi India di Dun Semenyih kepada Pakatan Harapan (PH) dijangka tidak berubah dengan apa yang dicapai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, kata Ketua Komuniti Kaum India Semenyih, Puvanendran Munusamy.

“Kaum India memang undi PH. 80 peratus daripada lebih 7,000 pengundi India tidak akan memilih BN atau calon Bebas pada Sabtu (2 Mac) ini,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Rinching 5 & 6.

Ketua PKR Cabang Hulu Langat tersebut memberitahu di PDM itu contohnya, terdapat seramai 460 pengundi India manakala paling ramai kaum berkenaan berada di PDM Bandar Rinching 1-4 dengan 1,500 pengundi.

“PRU-14 lepas, kita (PH) dapat kira-kira 400 undi. Kira-kira 85 peratus pengundi India memilih PH,” ujarnya yang merupakan salah seorang daripada 48 ketua komuniti India yang dilantik kerajaan negeri Selangor sejak Pakatan Rakyat (gabungan lama bagi PH) mendapat mandat pada PRU 2008.

Pengundi India di N.24 Semenyih mewakili 13.3 peratus daripada 54,503 pemilih berdaftar merangkumi 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir luar negara.

Pada 26 Februari lalu, sebanyak 78 peratus daripada jumlah pengundi awal keluar membuang undi di dua saluran iaitu di Dewan Serbaguna Batalion Ke-4, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.