Kaunter mahkamah syariah tutup awal, luahan wanita nak tuntut nafkah raih perhatian menteri agama

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian seorang wanita berhubung kesukaran dialami untuk memohon tuntutan nafkah di mahkamah syariah mendapat perhatian dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Menerusi satu hantaran video di platform TikTok, wanita dikenali sebagai Nurin Alisa itu mendakwa tidak boleh membuat urusan di mahkamah syariah pada belah petang kerana kaunter ditutup lebih awal.

Walaupun sudah datang seawal jam 2.30 petang, Nurin masih tidak boleh membuat urusan kerana kakitangan di kaunter mahkamah syariah itu memaklumkan bahawa sudah ramai pelanggan yang hadir sebelumnya.

Nurin turut menjelaskan bahawa bukan semua orang mempunyai kebebasan untuk meminta pelepasan dari majikan selain berkongsi cerita bahawa cutinya sebelum ini sudah habis digunakan bagi menjaga anaknya di hospital.

“Aku sudah penat, datang banyak kali selepas itu ditolak. Sudah sembilan bulan (bercerai), aku tak dapat apa-apa (nafkah). Balik kerja, aku datang sini tetapi kaunter tutup. Sudah berapa kali aku datang. Sumpah penat. 

“Sampai aku cakap dekat kaunter, ‘patutlah ramai yang mengalah untuk memohon tuntutan nafkah sebab macam ini’. Suruh datang hari Isnin hingga Jumaat. Masalahnya siapa tak kerja waktu itu? Aku sudah tak boleh mohon cuti.

“Aku sudah ambil cuti dua minggu sebab anak masuk hospital. Datang jam 3 ke, 2.30 petang ke tetap tutup sebab dia kata sebelum aku ini sudah ramai orang. Aku masuk kerja 7 pagi, balik 4 petang. Aku nak balik pukul berapa lagi?,” kesalnya.

Dalam perkongsian yang sama, Nurin turut meluahkan kekesalannya terhadap bekas suami kerana enggan menunaikan nafkah buat dirinya dan anak tanpa perintah daripada pihak mahkamah syariah.

Wanita itu turut menunjukkan borang setebal kamus yang sudah diisi namun tuntutan nafkah tersebut masih belum diselesaikan hingga hari ini selain mengakui tidak memiliki pendapatan tinggi untuk melantik peguam.

Perkongsian Nurin yang ditonton oleh 2 juta pengguna TikTok itu nyatanya tidak sia-sia apabila turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang memberikan responnya di ruangan komen.

Datuk Dr Mohd Na’im yang juga bekas Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) itu bertanya mahkamah syariah mana yang terlibat sebelum dijawab Nurin melalui pesanan secara terus (DM).

“Alhamdulillah perkongsian saya itu dapat perhatian Datuk Dr Mohd Na’im dan pihak Mahkamah. Harapnya akan ada peraturan baharu yang lebih mempertahankan hak wanita dan anak-anak. Aku bukan lawan bukan untuk diri sendiri tetapi buat semua wanita.

“Di luar negara kalau bapa kandung meninggal, yang kena tanggung nafkah adalah keluarga mentua. Macam mengikut Al-Quran dan Al-Sunnah. Tetapi tidak di negara ini. Bapa kandung pun boleh terlepas walhal masih hidup.

“Kalau perkara ini diperketatkan mengikut ajaran Islam, tentunya bukan sahaja bapa kandung. Tetapi keluarga mentua akan bantu, bukan lari macam ini sampai halau seperti anjing. Biarkan benda ini diperketatkan agar usaha seorang wanita tak sia-sia.” Tegasnya.

Sementara itu, Nurin turut memberikan cadangan kepada pihak mahkamah agar membenarkan borang tuntutan diisi secara atas talian dan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menapis permohonan supaya dapat menjimatkan masa di kaunter.

Baca juga: Pemilik premis akui rugi, rupanya GISBH tak pernah bayar sewa selama 10 tahun, kena halau bila datang