Malaysia Dateline

Kaut kerang bagai tiada hari esok, netizen kecam lelaki ancam hidupan laut

Tindakan seorang lelaki mengaut kerang di sebuah pulau menerima kecaman netizen apabila tindakan tersebut dilihat sebagai mengancam hidupan laut.

Jambatan Pulau Pinang merupakan tarikan pelancong yang terkenal selain berfungsi sebagai laluan yang menghubungkan tanah besar semenanjung di Seberang Perai menuju ke Lebuhraya Gelugor, Bayan Lepas.

Mercu tanda yang mula dibina pada tahun 1982 ini merupakan jambatan kedua terpanjang di Malaysia.

Dalam perjalanan menelusuri jambatan ini, pengunjung boleh melihat keberadaan sebuah pulau kecil di sebelah kiri jambatan.

Penuh misteri, pulau yang dikenali sebagai Pulau Kazambo ini dikatakan terbina dari perubahan arus ombak serta lebihan tambakan dari projek binaan jambatan tersebut.

Pada zaman dahulu, pulau terpecil ini dijadikan tempat berehat warga kerja kontraktor yang terlibat dalam pembinaan yang memakan masa selama tiga tahun itu.

Satu hantaran tular melalui platform sosial media TikTok mengenai misteri pulau ini mendapat kecaman dari ramai pihak apabila dimuat naik semula di Twitter.

Video kongsian Joi Zerol itu memaparkan beliau menggunakan bot kepunyaan rakannya untuk sampai ke pulau itu dan membawa balik begitu banyak hasil tangkapan hidupan laut.

Hal ini mengundang ketidakpuasan hati para pengguna sosial media apabila tindakan Joi itu telah melanggar aspirasi kerajaan negeri yang ingin menjadikan pulau itu sebagai tempat perlindungan hidupan laut atau ‘marine sanctuary’.

Untuk menjadikan Pulau Kazambo sebagai ‘marine sanctuary’, banyak usaha yang perlu dilakukan oleh pihak yang terlibat dan hantaran tular ini mungkin menyebabkan perkara ini mustahil untuk dicapai.

“Marine sanctuary tapi kau pergi balaih (ambil) semua kerang macam tiada hari esok, pastu kongsi dekat orang. Bertambahlah kerosakan nanti. Punca laa!,” kata pengguna bernama Hakiemyz.

“Maka selepas ini berduyun la umat manusia ke situ kutip segala benda yang boleh dikutip,” kongsi pengguna lain.

Pemilik akaun yang bernama Sharidzuan turut berpendapat pulau ini tidak patut ditularkan kerana bimbang hidupan laut di situ berdepan dengan ancaman manusia.

Baca juga: Letak kain atas peti ais memang nampak cantik, tapi sebenarnya bahaya