Kawal berat badan di Aidilfitri dengan konsep Pinggan Sihat Malaysia

Kawal berat badan di Aidilfitri dengan konsep Pinggan Sihat Malaysia

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengajak rakyat Malaysia menggunakan konsep Pinggan Sihat Malaysia melalui tagline ‘Suku Suku Separuh’ untuk mengekalkan kesihatan sepanjang Aidilfitri nanti.

Beliau berkata, konsep itu menekankan suku pinggan diisi dengan nasi, mi, roti atau sumber karbohidrat, suku pinggan dengan sumber protein seperti ikan, ayam, daging atau kekacang dan separuh pinggan lagi diisi dengan sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Inilah kaedah paling mudah dan amalan ini bukan sahaja membantu mengawal berat badan malah dapat mengelakkan pembaziran makanan.

“Air kosong juga merupakan pilihan terbaik berbanding minuman manis termasuk minuman berkarbonat.

“Dengan mengamalkan konsep ‘Suku Suku Separuh’ ini, kita masih dapat menikmati juadah yang dihidangkan semasa Hari Raya dan pada masa yang sama mengawal kuantiti makanan yang diambil,”ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, sepanjang berpuasa sudah tentu ramai yang berjaya menurunkan berat badan namun momentum itu tidak dapat dikekalkan apabila tiba musim perayaan.

“Berat badan mungkin akan kembali kepada berat asal atau sebaliknya, meningkat dari berat asal. Senario ini sering berlaku saban tahun,”tambah beliau.

Justeru katanya, pengambilan makanan yang tidak terkawal ditambah dengan kurangnya melakukan aktiviti fizikal boleh menyebabkan peningkatan berat badan secara mendadak di samping meningkatkan risiko mendapat penyakit kronik.

“Perkara ini harus ditangani dengan bijak terutamanya semasa memilih aneka jenis makanan istimewa yang disajikan semasa Hari Raya.

“Tip utama yang perlu dipegang adalah dengan bersederhana dan mengambil makanan mengikut keperluan kalori harian,”katanya.