Malaysia Dateline

Kawal harga minyak masak tidak jejas pasaran minyak sawit mentah

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin membidas kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang menyatakan kenaikan harga minyak masak adalah munasabah.

Shazni berkata, perbandingan menteri Pas itu berkenaan harga pasaran minyak sawit mentah dan harga pasaran minyak masak adalah satu kenyataan yang dangkal.

Beliau menegaskan bahawa kawalan harga terhadap minyak masak botol sama sekali tidak akan menjejaskan harga pasaran minyak sawit mentah.

“Bahkan tidak memberi kesan secara langsung terhadap nasib peneroka sawit.

“Harga pasaran minyak masak botol pada ketika ini adalah yang paling tinggi jika dibandingkan pada zaman pemerintahan BN, dan juga PH.

“Walaupun dengan ketiadaan sebarang subsidi terhadap minyak masak pada zaman pemerintahan PH, harga minyak masak botol tetap dapat dikawal pada sekitar RM 20 hingga RM22 sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Khairuddin berkata, harga minyak masak di pasaran sekitar RM30 bagi botol lima kilogram adalah munasabah memandangkan kenaikan harga minyak sawit bertapis yang tinggi pada masa ini.

Menurutnya, purata harga minyak sawit mentah (MSM) antara RM4,000 hingga RM4,500 satu tan menyebabkan kenaikan harga minyak sawit bertapis lebih tinggi kepada sekitar RM5,000 satu tan.

“Jika lima kilogram sekitar RM25. Belum dikira kos pembungkusan dan lain-lain. Dengan rantaian bekalan menerusi pemborong dan peruncit, sangat munasabah harga minyak masak di pasaran sekitar RM30 bagi botol lima kilogram,” katanya dalam hantaran Facebooknya.

Sementara itu Shazni yang juga ketua Pemuda AMANAH Nasional mendesak supaya menteri Khairuddin menghidupkan semula subsidi ke atas harga minyak masak botol setelah subsidi itu dihapuskan sejak 2017 yang lalu.

Jelasnya, kenaikan harga ini bukan sahaja dirasai oleh golongan B40, tetapi juga golongan M40 dan T20 sendiri yang terkesan dengan kenaikan ini disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Di kala rakyat sedang susah mencari jalan untuk meneruskan hidup dalam era pandemik, pihak kerajaan seolah-olah memejamkan mata dan hanya memberikan seribu satu alasan berbanding berusaha mencari jalan penyelesaian,” katanya lagi.