Kawal kemasukan ahli pembangkang ke dalam PH, kata Dr Muhaimin

Kawal kemasukan ahli pembangkang ke dalam PH, kata Dr Muhaimin

Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak mengingatkan Pakatan Harapan (PH) negeri supaya berhati-hati dalam menerima kemasukan beramai-ramai pemimpin pembangkang terutama Umno ke dalam gabungan tersebut.

Naib Pengerusinya, Dr Muhaimin Sulam berkata jika pendekatan itu tidak dibuat ia dikhuatiri akan menjadi liabiliti selain memungkiri amanah rakyat yang memilih PH selaku kerajaan selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya AMANAH juga bimbang pendekatan tersebut sengaja digunakan bagi meraih kuasa dan keuntungan peribadi.

“AMANAH sendiri bukan sekadar sebuah parti politik yang berintegriti tetapi adalah sebuah parti yang bangkit daripada sebuah kehancuran kepercayaan rakyat.

“Kemasukan beramai-ramai ini jangan sampai jadi seperti tikus membaiki labu dan AMANAH Perak tetap mengambil sikap berhati-hati selain memberi amaran sebarang usaha mengkhianati perjuangan PH akan kami tentang habis-habisan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun ) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin bersama 200 ahli Umno daripada pelbagai bahagian di Perak mengisytiharkan keluar daripada parti berkenaan dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan komponen dalam PH.

Rata-rata daripada mereka berpendapat tindakan itu dilakukan selepas mengambil kira suasana semasa politik negara serta bagi menjaga kepentingan rakyat di kawasan.

Dr Muhaimin berkata daripada sudut lain, kemasukan beramai-ramai pimpinan Umno tersebut bakal memberi tamparan hebat kepada Barisan Nasional (BN) Perak untuk melakukan proses transformasi dan penstrukturan semula parti.

“Ibarat kata pepatah Melayu lama, sudah jatuh ditimpa tangga. Kawan ketawa ramai, kawan menangis sendiri. Begitulah realiti dunia berpolitik,” katanya.

9.7
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 10.0