Malaysia Dateline

Kawal sekatan sektor hasilkan makanan, cadang Pemuda DAP

Kerajaan diminta untuk melonggarkan sekatan waktu operasi ke atas sektor penghasilan makanan terutama pengeluaran tanaman sayur-sayuran sepanjang tempoh fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.

Naib Pengerusi Pemuda DAPSY, Chiong Yoke Kong berkata, beberapa sekatan yang dikenakan semasa tempoh PKP, sama sekali tidak konsisten dengan situasi pasaran sebenar dan bagaimana rantaian bekalan berfungsi.

Menurutnya, kelonggaran had operasi masa bagi sektor tersebut bakal memberi ruang kepada peniaga sayuran untuk beroperasi pada waktu malam sementara rantaian bekalan makanan boleh kembali normal untuk mencegah krisis makanan.

CHIONG YOKE KONG

“Sebelum PKP dikuatkuasakan, trak pengangkutan akan mengangkut sayur-sayuran dari Cameron Highlands ke pasar-pasar borong pada waktu malam supaya pengguna dapat membeli sayuran segar pada waktu pagi.

“Sekarang, vendor sayuran hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 7 malam, sekali gus menjejaskan keseluruhan rantaian pengeluaran.

“Oleh kerana pengeluaran bekalan sayur serta rantaian logistik terjejas dek kerana pelbagai langkah yang dikenakan semasa PKP, bekalan sayur-sayuran di pasaran tidak stabil sementara harga makanan dikenalpasti semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Adun Kawasan Tanah Rata itu juga berkata, kenaikan harga yang mendadak menyebabkan golongan susah yang kurang bernasib baik tidak dapat membeli sayuran yang mahal.

Lebih menyedihkan kata Chong, penjual sayur di CH terpaksa membungkus sayur-sayuran pada waktu siang dengan cuaca yang panas.

Katanya, sayuran yang dibungkus kemudian dibiarkan semalaman dan hanya boleh diangkut keesokan harinya, malah ada juga sebahagian sayuran yang tidak dapat dibungkus disebabkan had operasi masa yang ketat.

“Sebaik sahaja sayur-sayuran dihantar ke pasar borong, hampir setengah hari diperlukan untuk menghantar produk kepada peruncit. Selalunya sayur-sayuran ini boleh dijual sehingga pagi ketiga sahaja.

“Di bawah keadaan sedemikian, para peruncit terpaksa memotong kuantiti pesanan dan mengurangkan stok kerana lebih lama sayur-sayuran disimpan, ia lebih sukar dijual.

“Oleh sebab pengurangan stok yang berlaku, secara tak langsung harga akan meningkat dan pengguna perlu membayar lebih untuk membeli sayur-sayuran,” katanya.

Justeru Chong menegaskan, adalah penting untuk memastikan operasi pengeluaran makanan sentiasa berterusan dan kestabilan ekosistem rantaian bekalan untuk mengelakkan inflasi.