Malaysia Dateline

Kawasan pendaratan penyu, hutan bukit pantai di Segari, Perak semakin diancam kemusnahan

Kegiatan kuari batu granit dalam Hutan Simpan Segari Melintang memusnahkan ekosistem hutan jenis hutan bukit pantai di Semenanjung.

Pantai Pasir Panjang Segari hingga ke pantai di Hutan Simpan Tanjung Hantu (HS Tanjung Hantu) merupakan kawasan pendaratan utama penyu di negeri Perak.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) bimbang kawasan pendaratan penyu di Segari semakin terancam apabila Kerajaan Negeri telah meluluskan dua cadangan projek perindustrian di kawasan tersebut (Tanjung Hantu) iaitu loji membekal gas cecair asli (LNG) seluas kira-kira 60 hektar dan kilang besi dan keluli seluas kira-kira 202.35 hektar.

Bukan hanya dua cadangan projek perindustrian tersebut sahaja yang dibimbangi tetapi ada satu lagi cadangan projek perindustrian yang juga membimbangkan iaitu loji bersepadu pemerosesan minyak dan petrokimia seluas kira-kira 1,319.27 hektar di kawasan Tanjung Hantu.

Mengikut Rancangan Fizikal Negara (RFN), kawasan Tanjung Hantu dan sekitarnya dikategori sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 dan 2 (KSAS Tahap 1 dan 2) iaitu kawasan pemeliharaan yang tidak dibenarkan pembangunan kecuali pelancongan yang berasaskan alam semula-jadi.

Malah, mengikut Rancangan Tempatan Tempatan Daerah Manjung 2002 – 2015 (pelan perancangan fizikal diperingkat daerah sebelum menerima-pakai Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2030), lokasi / kawasan cadangan projek telah dizonkan sebagai Zon Pembangunan Pelancongan Pasir Panjang – Teluk Senangin kerana mempunyai persekitaran yang menarik seperti pantai yang tidak terganggu, hutan bukit pantai, hutan rawa dan kawasan pendaratan penyu.

Kedua-dua projek tersebut dibimbangi boleh menimbulkan kesan kepada alam sekitar dan sektor perikanan.

Oleh kerana kawasan projek terletak di KSAS Tahap 1 kawasan pendaratan penyu, ia bercanggah dengan RFN.

Kebimbangan SAM bukan hanya di kawasan pantai (kawasan pendaratan penyu) sahaja tetapi juga di kawasan persekitaran yang masih dilitupi hutan dan kawasan semula-jadi darat.

Dari semasa kesemasa litupan hutan dan kawasan semula-jadi darat di Segari dimusnahkan terutama pemansuhan status sebahagian Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan terdapat juga kegiatan pencerobohan dan penerokaan haram kawasan HSK.

Disamping itu eksploitasi hutan untuk tujuan pengusahasilan terutama kegiatan pembalakan dilakukan dari semasa kesemasa.

Terdapat dua HSK di Segari yang dijadikan kajian kes oleh SAM iaitu HS Tanjung Hantu dan Hutan Simpan Segari Melintang (HS Segari Melintang).

Tetapi terdapat juga lain-lain HSK di sekitar Segari dan berhampiran HS Tanjung Hantu dan HS Segari Melintang iaitu Hutan Simpan Tanjung Burung (HS Tanjung Burung), Hutan Simpan Gunung Tunggal (HS Gunung Tunggal), Hutan SImpan Teluk Kopiah (HS Teluk Kopiah), Hutan Simpan Kota Siam (HS Kota Siam) dan Hutan Simpan Batu Undan (HS Batu Undan).

Semua HSK tersebut (kecuali HS Segari Melintang) berkeluasan tidak melebihi 1,000 hektar, di luar ‘Central Forest Spine’ dan menjadi ‘pulau hutan’ yang dikelilingi oleh lain-lain guna tanah terutama pertanian.

Teluk Mengkudu, Segari di daerah Manjung jadi tapak pelupusan sisa pepejal walaupun tidak mendapat kelulusan pihak berwajib.

HS Tanjung Hantu

Keseluruhan HS Tanjung Hantu dan bekas sebahagian HS Tanjung Hantu adalah dilitupi jenis hutan bukit pantai dan hutan pantai (beach / strand forest) termasuk hutan rawa.

Keseluruhan HS Tanjung Hantu dikelaskan sebagai Hutan Simpanan Dara (VJR) termasuk bekas sebahagian HS Tanjung Hantu.

Ciri-ciri unik / istimewa HS Tanjung Hantu ialah mempunyai komposisi hutan spesies Balau Laut (Shorea glauca) yang terkaya di Malaysia dan kawasan pendaratan penyu.

Keluasan HS Tanjung Hantu semakin berkurangan apabila sebahagian daripada hutan simpan tersebut beberapa kali telah dimansuhkan dan kini keluasannya hanya seluas kira-kira 231.89 hektar.

HS Segari Melintang

HS Segari Melintang pula terletak di utara dan timur HS Tanjung Hantu.

Sebelum HS Tanjung Hantu dan HS Segari Melintang dimansuhkan sebahagian, kedua-dua hutan simpan tersebut adalah bersambung.

Hampir keseluruhan HS Segari Melintang adalah dilitupi jenis hutan bukit pantai dan hanya terdapat di satu kompatmen adalah dilitupi jenis hutan pantai (beach / strand forest).

Beberapa kompatmen di HS Segari Melintang dikelaskan juga sebagai VJR dan Hutan Bernilai Pemeliharaan Tinggi dan Kawasan Dirian Spesies Endemik spesies Balau Putih (Shorea lumutensis) (HCVFs).

Pemusnahan dan eksploitasi HS Segari Melintang begitu ketara samada telah dimansuhkan sebahagian, telah diusahasil (pembalakan secara tebang habis), dilakukan kegiatan pengkuarian dalam HSK dan pernah diceroboh dan diteroka haram.

Cadangan kegiatan pengkuarian (batu granit) di sebahagian Kompartmen 13, 14, 15 dan 16 membimbangkan selain kegiatan pengkuarian sedia-ada di Kompartmen 11 dan 12.

Malah dimaklumkan, telah ada lagi permohonan untuk melakukan kegiatan pengkuarian (batu granit) di sebahagian Kompartmen 19, 20 dan 21 seluas kira-kira 122 hektar serta kegiatan pengambilan tanah merah di Kompartmen 54 seluas kira-kira 49 hektar.

Semua kawasan yang pernah diceroboh dan diteroka haram adalah berhampiran laluan dan jalan raya manakala persekitaran adalah pamah dan berbukit rendah.

Ada tindakan daripada pihak Jabatan Perhutanan kerana telah meletakkan notis larangan menceroboh dan meneroka haram di beberapa kawasan yang telah lama berlaku.

Manakala Projek Pemulihan Kawasan Terosot / Penerokaan di Kompartmen 34 seluas 10 hektar yang dilakukan oleh Jabatan Perhutanan pada tahun 2009 terbiar dan tidak dipelihara.

Hutan Lipur Pasir Panjang yang terletak di dalam Kompartmen 76 telah diselenggara oleh Jabatan Perhutanan dan menjadi tapak Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies Yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara oleh SAM sejak tahun 2013.

Berpotensi sebagai kawasan pelancongan eko dan pantai peranginan kerana mempunyai persekitaran yang menarik yang kurang terganggu dan berhampiran Pusat Pemuliharaan Penyu Segari.

Keluasan terkini HS Segari Melintang ialah kira-kira 2,720.79 hektar berbanding keluasan asal iaitu antara 4,000 – 4,700 hektar (hutan simpan yang dilitupi jenis hutan bukit pantai terbesar di Semenanjung Malaysia).

Hutan Simpan Segari Melintang terus ditarah untuk tujuan kegiatan kuari.

Rumusan

Kesimpulannya, pemusnahan dan eksploitasi HS Tanjung Hantu dan HS Segari Melintang terutama pemansuhan sebahagian, kegiatan pengkuarian dalam HSK (di HS Segari Melintang), kegiatan pencerobohan dan penerokan haram agak membimbangkan.

Guna-tanah semasa (sedia ada) di sepanjang Pantai Pasir Panjang dan kawasan persekitarannya terutama HS Tanjung Hantu dan HS Segari Melintang tidak sesuai ditukar kepada lain-lain guna-tanah dan perlu dikekalkan sebagai zon pelancongan dan zon perlindungan (HSK dan / atau lain-lain kawasan perlindungan).

 

* Penulis merupakan Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM).