Kawasan tadahan air Ulu Muda harus dilindungi

Kawasan tadahan air Ulu Muda harus dilindungi
Datuk Ir Jaseni Maidinsa.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah mesti bertindak pantas dan tepat untuk menjamin keselamatan kawasan tadahan air Ulu Muda, bagi melindungi perkhidmatan bekalan air di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutuf Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa.

Jelasnya lagi, PBAPP bimbang dengan pendedahan pembalakan di Bukit Keramat baru-baru ini.

“Pada September 2018, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli serta Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan bahawa pembalakan telah diharamkan di Ulu Muda.

“PBAPP mengalu-alukan pengumuman tersebut, walau bagaimana pun ianya tidak memberikan perlindungan yang berkekalan.

“Perundangan yang betul, penguatkuasaan yang ketat dan pampasan yang adil (kepada Kedah) diperlukan bagi memastikan keselamatan UIu Muda selama-lamanya, ” katanya.

Tegasnya lagi, undang-undang mesti diluluskan untuk melindungi Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air yang terbesar dan paling penting di Wilayah Utara.

“Undang-undang tersebut mesti dikuat-kuasakan oleh jabatan kerajaan yang diberi kuasa untuk melindungi Ulu Muda tanpa gentar atau pilih kasih.

“Bagi perlindungan yang lestari, adalah wajar beberapa bentuk pampasan Persekutuan diberikan kepada Kedah bagi memastikan Ulu Muda bebas dari pembalakan.

“Ia adalah lebih logik dan rasional bagi menjamin keselamatan Ulu Muda untuk selamanya serta kebaikan lebih daripada 4.2 juta penduduk yang tinggal di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, ” katanya.

Malah ujarnya, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah perlu menyiasat berapa hektar ‘hutan rizah’ telah diluluskan untuk pembalakan oleh Kerajaan Negeri Kedah terdahulu dikawasan tadahan air termasuk 163,103 hektar hutan hujan di Ulu Muda.

“Adakah kelulusan ini masih sah berikutan perubahan dalam Kerajaan Negeri Kedah serta adakah Jabatan Perhutanan negeri mengeluarkan lebih banyak permit untuk pembalakan secara bebas.

“Apakah pengharaman pembalakan di Ulu Muda suatu larangan menyeluruh yang meliputi semua 163,103 hektar Hutan Ulu Muda yang berfungsi sebagai kawasan tadahan air serantau.

“Jabatan kerajaan yang manakah menguatkuasakan pengharaman pembalakan di Ulu Muda sepertimana yang diumumkan pada September 2018, ” soal beliau.

Sehubungan itu tambahnya, senario Bukit Keramat harus dijadikan sebagai suatu amaran yang jelas sejauh mana hal-hal yang mungkin salah kerana kemungkinan pentadbiran atau perundangan yang terlepas pandang.

“Kepentingan Ulu Muda sebagai sebagai kawasan tadahan air serantau tidak boleh dipandang remeh.

“Sekiranya hutan hujan digondol, kerosakan akan dirasai diluar lingkungan alam sekitar.

“Jutaan penduduk di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang akan menghadapi krisis air pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini, ” katanya.