Kawasan tanah kubur baharu di Kampong Tok Panjang jadi realiti

Kawasan tanah kubur baharu di Kampong Tok Panjang jadi realiti
Adun Permatang Pasir,Faiz Fadzil ketika berucap kepada penduduk Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah, semalam.

Tanah perkuburan Islam Kampung Tok Panjang sedia ada kini.

Sejak 10 tahun yang lalu, penduduk Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah terpaksa meletakkan harapan yang tinggi bagi mendapatkan kawasan tanah kubur yang baharu setelah tanah perkuburan sedia ada tidak dapat lagi menampung keperluan penduduk setempat.

Malah masalah ini telah berlarutan sejak sekian lama dan tidak dapat diselesaikan sehinggalah kerajaan Pakatan Harapan menerajui kepimpinan baru-baru ini.

Demikian dinyatakan oleh Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil ketika berucap pada majlis kesyukuran penganugerahan tanah kubur oleh kerajaan negeri kepada penduduk tersebut.

“Komitmen yang baik dan usahasama telah diberikan oleh Adun PKR yang mewakili Dun Bukit Tengah serta juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

“Kini terbukti penantian penduduk kampung bagi mendapatkan tanah kubur tambahan tersebut telah menjadi realiti apabila ianya dianugerahkan secara rasmi.

“Dengan penyerahan ini ia menjadikan tanah kubur sedia ada lebih luas sehingga mencecah 3 ekar bagi menampung keperluan penambahan penduduk tempatan dan juga warga asing yang semakin mencambah, ” tegasnya.

(dari kir) Mat Saat Ishak dan Mohd Radzi Abdul Razak

Sementara itu Mat Saad Ishak, bekas AJK Masjid Jalan Baru berkata, permohonan telah dibuat begitu lama.

Namun begitu, ia tidak berjaya menjadi kenyataan walaupun pelbagai usaha telah pun dilaksanakan.

“Kami naik turun pejabat agama, daerah dan sehingga ke peringkat negeri.

“Macam-macam yang telah kami usahakan bagi mendapatkan tanah kubur tambahan tersebut.

“Tapi ianya tidak menjadi kenyataan sebelum pilihan raya umum ke 14 yang lalu, ” ujarnya.

Manakala Mohd Radzi Abdul Razak yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Masjid Balik Bukit pula berkata, dengan augerah tanah ini ia dapat menyelesaikan banyak masalah berbangkit.

“Tanah kubur yang baru ini dapat menampung kekurangan tanah kubur sedia ada.

“Terdapat juga warga asing yang meninggal dunia turut dikebumikan di tanah perkuburan ini.

“Kedudukan kawasan ini yang begitu hampir dengan kawasan industri Bukit Tengah serta kebanjiran warga asing yang menetap disini turut menjadikan tanah perkuburan ini sebagai tempat pengebumian mereka, ” jelasnya.

(dari kir) Norizam Ismail dan Wahab Desa

Bagi Norizam Ismail pula mengucapkan terima kasih kepada wakil rakyat PH yang telah berjaya merealisasikan harapan penduduk yang tidak pernah menjadi kenyataan sekian lama.

“Tanah kubur tambahan yang diberikan ini mampu menyelesaikan banyak masalah sebelum ini.

“Setidak-tidaknya kami berasa lega dengan sokongan yang telah diberikan tanpa belah bagi oleh Adun Permatang Pasir, Adun Bukit Tengah dan Ahli Parlimen Batu Kawan.

“Ia bukan saja dapat menyelesaikan masalah kekurangan tanah kubur, sebaliknya menghilangkan rasa keluh-kesah penduduk sejak 10 tahun yang lalu, ” katanya.

Wahab Desa yang merupakan Pengerusi KRT Kampung Tok Panjang menzahirkan rasa lega setelah begitu lama bertungkus lumus untuk memastikan permohonan bagi mendapatkan tanah kubur ini menjadi kenyataan.

“Penduduk kampung yang menaruh harapan kepada kerajaan yakin apa yang dianugerahkan dapat membantu menyelesaikan kemelut yang berpanjangan sebelum ini.

“Terima kasih yang teramat sangat kami ucapkan bukan saja kepada wakil rakyat yang terlibat, tetapi juga kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang serta kerajaan negeri.

“Perasaan bimbang dan khuatir yang ada pada pimpinan kariah dan kampung hampir selesai walaupun kami masih terpaksa mencari dana untuk meratakan tanah kubur yang penuh dengan batu dan belukar, ” tambahnya lagi.

Kawasan tanah perkuburan baharu lebih 1 ekar yang telah diberikan oleh kerajaan negeri kepada penduduk Kampung Tok Panjang.