Jabatan Perhutanan Kelantan mengumumkan akan melelong kayu balak yang dirampas di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Pengarah Perhutanan Kelantan, Haji Abdul Wahab Deraman dalam satu Notis Lelongan menyebut adanya sitaan kayu balak di Kompartmen 25, 29, 40, 41 dan 64 Hutan Simpan Nenggiri, Jajahan Kelantan Selatan, Gua Musang.
Notis Lelongan ini dikeluarkan pada 9 Ogos baru lalu di mana kesemua kayu balak curi yang disita di kompartmen berkenaan akan dilelong
Bagi Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa, surat ini akhirnya mengesahkan berlaku kecurian balak di Hutan Simpan Nenggiri sebagaimana yang didakwa beliau sebelum ini.
“Kayu yang disita termasuk di kompartmen 29, 40, 41 dan 64. Kompartmen ini adalah sebahagian konsensi milik Daulah Najah seperti yang tertera di papan tanda matau milik Daulah Najah yang saya siarkan sebelum ini.
“Daulah Najah dipengerusikan oleh seorang Exco yang membuat kenyataan menafikan ada berlakunya kecurian balak tempoh hari,” kata Husam dalam kenyataan di facebook beliau semalam.
Bagi beliau, adanya balak di sita di kompartmen milik Daulah Najah tidak semestinya menunjukkan Daulah Najah sendiri melakukan perbuatan mencuri balak itu.
“Cuma, sebagai pemilik konsensi atau tuan rumah, bila berlaku kecurian di rumah kita, seharusnya tuan rumah adalah orang yg pertama membuat laporan polis dan susah hati mengenainya.
“Bukan cuba menutup kejadian itu dengan menafikan ianya berlaku.
“Namun hingga kini, pencuri sebenar kekal menjadi misteri. Mungkin telah ditemui tetapi tidak diumumkan.
“Mustahil Pejabat Hutan yang mempunyai pakar forensik hutan gagal dalam siasatan mereka,” kata Husam.
Sebelum ini, laporan polis yang dibuat oleh Renjer Hutan pada 2 Jun 2022 ialah mengenai penyitaan balak curi di matau Daulah Najah.
Husam sebelum ini membuat pendedahan tentang penyitaan balak ini namun dinafikan oleh Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang juga Pengerusi Daulah Najah Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan negeri Kelantan.