Kayveas syor kerajaan letak syarat pengundi setempat jadi calon bertanding

Kayveas syor kerajaan letak syarat pengundi setempat jadi calon bertanding

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diharap mengubah sistem sedia ada dengan menetapkan hanya individu yang layak mengundi di sesuatu kawasan dijadikan calon bertanding dalam pilihan raya.

Menurut Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas, syarat seseorang calon itu mesti dari komuniti setempat perlu bagi mengelakkan individu di luar kawasan bertanding.

Beliau berkata, banyak negara maju yang mengamalkan sistem calon yang bertanding dalam pilihan raya mesti dipilih oleh komuniti setempat.

Sebelum dicalonkan, jelasnya, komuniti setempat akan menilai terlebih dahulu sama ada seseorang calon itu boleh berkhidmat atau tidak.

“Tapi di sini (Malaysia) keadaannnya berbeza dan kita harap kerajaan baharu boleh mengubah sistem ini,” ujarnya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata, Cameron Highlands pagi tadi.

Diminta mengulas tentang calon BN, Ramli Mohd. Nor dan calon PH, M. Manogaran yang tidak mengundi di P 078, Kayveas berkata, mereka adalah orang luar yang tidak ada kaitan dengan Cameron Highlands tetapi bertanding di Parlimen itu.

“Ini satu kesilapan dalam sistem kita dan saya harap pada masa akan datang kerajaan dan SPR boleh mencari jalan supaya seseorang calon yang bertanding mestilah daripada komuniti setempat dan mengundi di kawasan yang ditandinginya,” tegasnya.

Untuk rekod, dua lagi calon Bebas, iaitu Wong See Yee dan Sallehudinn Ab. Talib masing-masing mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Valley di sini dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Koyan 1 di Lipis.

Pengundi di SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata sedang beratur untuk membuang undi.