Kazim Elias dakwa institusi tahfiz gagal

 

Pengasas dan pengetua Pusat Pendidikan Al-Barakah, Datuk Kazim Elias mendakwa institusi tahfiz mengalami kegagalan besar daripada segi pengurusan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya Berita Harian mengenai pandangan pendakwah selebriti itu ekoran kontroversi yang dialami Al-Barakah.

Menurutnya, tiada pihak pusat tahfiz lain datang menemuinya bertanya khabar selepas isu penjualan unit tahfiz yang dikendalikannya.

“Saya rasa ia satu kegagalan besar. Mungkin kita boleh lihat daripada sudut pengurusan tahfiz itu sendiri. Seakan-akan tiada perhubungan atau bantuan sesama sendiri.

“Maksud saya, maahad tahfiz perlu ada kesatuan kuat, sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain.

“Saya rasa dalam konflik ini, tiada maahad tahfiz datang melawat kami, bertanya khabar,” dipetik dari BH hari ini.

Kazim turut menyifatkan kedudukan dan perbelanjaan kewangan di sekolah tahfiz tidak jelas.

“Kegagalan kedua ialah untuk kita menilai sesuatu maahad tahfiz. Maahad tahfiz yang tidak teratur dianggap sebagai miskin.

“Yang teratur dianggap kaya, maka kaya tidak perlu dibantu. Yang tidak teratur itu kadang-kadang lebih banyak duit daripada yang teratur.

“Maahad tahfiz yang cantik dan hebat itu bagus kerana menggunakan semua duit wakaf untuk jadikan pelajarnya tersusun.

“Bukan menyimpan duit derma. Jangan simpan duit derma untuk menarik simpati orang dengan bangunan tidak teratur,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, terdapat kira-kira 100 pelajar dan 25 kakitangan di Pusat Pendidikan Al-Barakah yang terletak di Ipoh, Perak.

Dalam hal berkaitan, status Unit Tahfiz Al Quran Al Barakah sama ada ditutup atau diteruskan hanya akan diketahui Ogos ini selepas keputusan daripada beberapa rundingan dimuktamadkan.

 

5.7
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 3.5
CATEGORIES
TAGS