KBS adakan perbincangan strategik perkasa anak muda rentas politik

KBS adakan perbincangan strategik perkasa anak muda rentas politik
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Anak Muda di KBS hari ini.

Selaras dengan hasrat memperkasakan peranan dan pembangunan anakmuda, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil inisiatif mengadakan perbincangan strategik bersama pemegang-pemegang taruh termasuklah
merentais fahaman parti-parti  politik di negara ini.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Anak Muda yang julung kali diadakan hari ini, berkata, jawatankuasa ini, bertujuan untuk mendapatkan input-input yang melibatkan anak muda termasuklah merangkumi had umur mengundi, isu sosial, keusahawanan,TVET dan sebagainya.

“KBS akan memainkan peranan yang lebih holistik melalui penglibatan dan penyerlahan potensi anak muda.

“Ini merupakan kali pertama sesi seperti ini diadakan dan kita amat memerlukan pandangan, idea serta input rakan-rakan strategik termasuklah merentasi pimpinan dan fahaman politik.

“Selain itu, menerusi usaha ini, kita mampu mewujudkan kaukus anak muda (youth caucus) seperti yang dipraktikkan di negara-negara maju di mana suara generasi muda daripada pelbagai latar belakang antaranya pimpinan politik muda, profesional dan sebagainya bersama dikumpulkan secara kolektif seterusnya memberikan impak kepada pembangunan negara,”ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat yang dicadangkan untuk diadakan secara berkala sebanyak dua kali setahun ini turut dihadiri pimpinan muda parti politik tempatan antaranya Pakatan Harapan (PH), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno), Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti PesakaBumiputera Bersatu (PBB) dan beberapa lagi.