KBS bina model e-Sports tepati cara hidup Malaysia

KBS bina model e-Sports tepati cara hidup Malaysia

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyediakan satu model sukan elektronik atau e-Sports yang bersesuaian dengan budaya dan cara hidup di negara ini sebelum akhir tahun ini, kata Timbalan Menterinya Steven Sim Chee Keong.

Pengumpulan maklum balas dan maklumat melalui sesi ‘town hall’ bagi penyediaan model itu sedang dilaksanakan di seluruh negara melibatkan kumpulan masyarakat dan pemegang taruh sukan itu seperti ibu bapa, pendidik, peminat, pemain serta atlet e-Sports, katanya.

“Selaras dengan usaha memartabatkan e-Sports seperti terkandung dalam Dasar Sukan Negara, KBS tidak boleh hanya bertindak selaku pengawal selia tetapi perlu bersama-sama pihak berkepentingan membina satu model e-Sports yang baik dan menyeluruh, sekali gus membendung stigma negatif mengenai sukan itu,” katanya.

“Kita juga akan menggunakan maklumat daripada town hall itu sebagai sandaran untuk kementerian menggubal satu dasar yang lebih komprehensif untuk pembangunan industri e-Sports yang lebih menyeluruh,” katanya.

Sim berkata demikian selepas menyaksikan perjanjian persefahaman antara Sunsuria Bhd bersama empat individu yang terlibat dalam industri sukan elektronik bagi menubuhkan EXVRA, satu hab e-Sports di kawasan pembangunan hartanah Sunsuria di Salak Tinggi di sini, hari ini.

Beliau berkata antara perkara yang diberi tumpuan ialah bagaimana untuk memastikan pusat-pusat e-Sports dikendalikan dengan mengutamakan cara hidup sihat seperti tidak merokok, meminum alkohol atau terbabit dalam aktiviti perjudian.

Dalam pada itu, Sim berkata perjanjian yang dimeterai oleh Sunsuria Bhd merupakan satu model yang boleh dicontohi pihak swasta lain dalam usaha membangunkan sektor e-Sports yang sememangnya amat digalakkan oleh kerajaan.

Beliau berkata penglibatan pihak swasta dalam membangunkan sukan itu menunjukkan petanda positif di mana sehingga kini terdapat tiga syarikat ternama termasuk satu daripada luar negara telah menyatakan hasrat untuk melabur dalam industri yang mempunyai nilai pasaran lebih RM2.4 bilion.

“Industri e-Sports tidak hanya terhad kepada gamers sahaja tetapi turut melibatkan kerja-kerja di balik tabir seperti pereka permainan, programmer dan penganjur acara,” katanya.

Setakat 2017, Malaysia mempunyai lebih 14 juta pemain di mana antara permainan e-Sports yang mempunyai ramai pemain adalah Dota2, CSGO, FIFA Online3, Mobile Legend, Arena of Valor, PES dan FIFA19.

— BERNAMA