Malaysia Dateline

KBS bincang Sabah, Sarawak dijadikan lokasi LTdL setiap tahun

Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS)akan membincangkan agar Sabah dan Sarawak dijadikan lokasi peringkat Jelajah LTdL pada penganjurannya setiap tahun.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata akan berbincang bagi meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai lokasi peringkat setiap tahun.

“Kita (KBS) akan bincang untuk Sabah dan Sarawak dijadikan sebagai lokasi peringkat saingan setiap tahun. Ini adalah kerana kita mahu LTdL ini dirasai bukan sahaja oleh penonton di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak,” ujarnya selepas melepaskan para pelumba LTdL 2029 di Padang Merdeka, Kuching hari ini.

Tambahnya, pada Jelajah LTdL 2020 yang berlangsung di Bandaraya Kuching hari ini seramai 123 pelumba basikal profesional dari seluruh dunia memulakan saingan peringkat pertama LTdL 2020 sejauh 98 kilometer (km).

“Peringkat kedua akan berlangsung di Kuala Terengganu pada esok sebelum meneruskan kayuhan ke Pantai Timur menyusuri Pantai Barat menuju ke utara untuk saingan penamat peringkat lapan.

“Perlumbaan lapan peringkat akan berakhir di Langkawi pada 14 Februari sebelum tirai jelajah dilabuhkan dengan perlumbaan saingan Klasik Antarabangsa Malaysia sempena sambutan jubli perak LTdL pada 15 Februari,” jelas beliau.

Sementara itu, Sarawak mengalu-alukan penganjuran siri Jelajah Le Tour De Langkawi (LTdL) di negeri ini setiap tahun selepas 23 tahun lepas.

Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak mempunyai fasiliti yang cukup bukan sahaja untuk sukan berbasikal tetapi juga sukan-sukan yang lain.

“Kami sentiasa menerima apa-apa cadangan atau penganjuran sukan antarabangsa di negeri ini. Dari segi fasiliti, kita cukup bukan sahaja untuk sukan berbasikal tetapi juga sukan-sukan yang lain.

“Logistik mungkin agak sukar, tetapi saya amat kagum melihat bagaimana penganjur LTdL 2020 dalam masa singkat tetapi dapat mengaturkan perlumbaan ini dengan baik,” katanya.