KBS komited mahu bantu Hafizh Syahrin teruskan karier permotoran

KBS komited mahu bantu Hafizh Syahrin teruskan karier permotoran

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited untuk membantu bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah bagi meneruskan kariernya dalam bidang permotoran.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya melalui Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada Hafizh.

“Permohonan bantuan telah pun dibuat dan saya akan meluluskannya. Dalam isu ini, saya juga telah berurusan dengan Ketua Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

“Saya sudah memastikan bahawa beliau (Hafizh) akan tetap beraksi dalam kategori Moto2 walaupun tidak lagi berada dalam kelas perdana iaitu MotoGP.

Syed Saddiq melancarkan Kad Kenangan ‘Gold Bar’ Lagenda Sukan Negara Di Bawah Inisiatif Pengumpulan Dana Kempen Tabung Yakeb for X-Athlete (#TabungX) di Menara KBS, hari ini.

“Industri permotoran kita tidak akan lupakan. Sebab itulah kalau lihat peruntukan untuk SIC sahaja, jumlahnya puluhan juta jauh lebih tinggi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai nasib Hafizh yang akan beraksi di kelas Moto2 tanpa sebarang pembayaran gaji.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Kad Kenangan ‘Gold Bar’ Lagenda Sukan Negara Di Bawah Inisiatif Pengumpulan Dana Kempen Tabung Yakeb for X-Athlete (#TabungX) di Menara KBS, Putrajaya, hari ini.

Pengeluaran kad kenangan untuk jualan yang julung kali diwujudkan itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi membiayai Skim Bantuan Khas Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) iaitu skim bantuan yang ditawarkan kepada para bekas atlet negara yang berdaftar dengan Yakeb.

Reka bentuk Kad Kenangan ‘Gold Bar’ Lagenda Sukan Negara ini memaparkan gambar lama dan baharu tiga orang bekas atlet negara beserta pencapaian mereka.

Bekas atlet bina badan negara, Datuk Malek Nor, bekas atlet olahraga kebangsaan, Datuk M Rajamani dan bekas pelumba basikal negara, Datuk Ng Joo Ngan adalah tiga bekas atlet yang diberikan penghormatan untuk edisi awal kad kenangan itu.

Gold Bar’ seberat 0.5 gram itu turut disematkan pada kad yang dijual dengan harga RM165 setiap tahun.

Sementara itu, Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed menyifatkan, majlis hari ini adalah simbolik penghormatan yang diberikan oleh YB Syed Saddiq kepada para bekas atlet negara.

“Kehadiran beliau (Syed Saddiq) menunjukkan beliau sememangnya merasai denyut nadi para bekas atlet negara, apatah lagi program pada hari ini adalah berkait rapat dengan usaha untuk mengumpul dana bagi membantu bekas atlet.

Terdahulu, Syed Saddiq menyampaikan sumbangan antaranya Skim Khairat Kematian berjumlah RM3,000, kepada wakil bekas atlet tenis negara, Allahyarham Mohamed Akbar Baba.

Sumbangan berjumlah RM1,500 turut diberikan kepada bekas atlet taekwondo negara, Jasmin Nabilla Sukardi sebagai bantuan melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.