Malaysia Dateline

KBS perlu bela nasib pekerja industri sukan

Kita sudah melalui tahun yang mencabar akibat wabak Covid-19 ini. Norma baru seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial sudah sebati dengan masyarakat kita pada hari ini setelah genap setahun kita menghadapi gelombang pandemik Covid-19 ini. Sektor ekonomi juga perlahan-lahan dibuka bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat kebanyakan.

Namun begitu, saya kecewa dengan pendekatan yang diambil oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang masih gagal membuka ruang untuk industri sukan berfungsi seperti biasa. Saya faham pihak kerajaan khususnya cuba mengelakkan jangkitan Covid-19 daripada merebak.

Namun bukankah kita sudah menguatkuasakan undang-undang dari segi SOP Covid-19? Terdapat beberapa sukan “non-contact” sudah dibuka, namun penerangan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayshal pada sesi Dewan Rakyat semalam sepertinya tidak menjawab soalan daripada ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.

Jawapan yang diberikan oleh Wan Ahmad Fayshal hanya tertumpu kepada atlet elit dan tidak menyasarkan semua golongan dalam industri sukan negara. Pemain dalam industri sukan negara bukan sahaja golongan atlet atau jurulatih tetapi juga meliputi usahawan peralatan sukan, perniagaan runcit sukan, perkhidmatan pelancongan sukan, infrastruktur, pengangkutan, katering, penyiaran sukan dan banyak lagi sektor sub-perkhidmatan sukan yang perlu diambil kira.

Perlu diingat atlet terdiri daripada dua kategori iaitu atlet professional dan atlet semi-professional. Berdasarkan dana yang disebutkan oleh Wan Fayshal, kebanyakan dana lebih tertumpu kepada atlet professional namun atlet semi professional diabaikan begitu sahaja. Kebanyakan atlet semi-professional terpaksa mengakhiri karier mereka di saat pandemik ini akibat tidak cukup kejohanan yang mengakibatkan mereka kehilangan punca pendapatan.

Apakah langkah yang bakal diambil oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain menyalurkan dana Prihatin Sukan yang hanya disalurkan terus kepada persatuan sukan dan TEKUN sukan yang fokusnya lebih kepada operator fasiliti sukan?

Saya berpendapat belanjawan pembangunan sukan negara ini tidak fokus menyeluruh tentang dampak yang dihadapi oleh pemain industri sukan negara. Perlu diingat sukan adalah penyumbang ekonomi dan pembangunan sosial di mana-mana negara, jika KBS gagal mengatasi masalah dalam industri sukan apatah lagi ingin menyelesaikan masalah lambakan graduan atau anak muda yang sukar mendapat peluang pekerjaan dalam era krisis luar jangka ini.

Industri sukan hakikatnya perlu berubah mengikut norma baru. Saya juga mengharapkan pihak KBS fokus bantuan bersasar terhadap seluruh pemain industri sukan negara bukan hanya tertumpu pada golongan atlet professional. Limitasi terhadap aktiviti sukan juga sebenarnya memberi kesan psikologi terhadap atlet. KBS perlu mempertimbangkan dari pelbagai aspek supaya industri ini terus berjalan seperti biasa tanpa ada yang dipinggirkan.

————————-

Penulis adalah alumni Sekolah Merdeka.