Malaysia Dateline

KBS perlu cari alternatif atasi masalah berkaitan basikal lajak

Kementerian Belia dan Sukan disarankan supaya mencari alternatif yang terbaik bagi memastikan aktiviti basikal lajak bukan saja dipromosikan, tetapi juga meningkatkan lagi kesedaran keselamatan dikalangan remaja serta ibu bapa.

Demikian dinyatakan oleh Ketua PKR Cabang Bagan, Alan Oh.

Jelasnya, desakan sesetengah pihak supaya aktiviti basikal lajak diharamkan bukan suatu langkah yang bijak dan proaktif.

“Mengharamkan aktiviti basikal lajak dalam kalangan remaja bukan suatu langkah yang bijak dan dapat menyelesaikan pelbagai kemelut yang berlaku.

“Aktiviti ini boleh ditingkatkan melalui beberapa prosidur dan langkah keselamatan yang perlu dilaksanakan di samping memberi kesedaran kepada remaja serta ibu bapa.

“Kementerian Belia dan Sukan boleh mencari jalan yang terbaik bagi memastikan aktiviti basikal lajak dipromosikan melalui beberapa usahasama dengan pihak swasta,” tegasnya.

Kata beliau lagi, beberapa mekanisme yang terbaru harus dicari dan difikirkan sebelum ia diharamkan.

Tegasnya, pihak berwajib perlu mencari alternatif sama ada dengan membina tapak atau lapangan yang khas bagi aktiviti tersebut supaya remaja yang berminat memberi tumpuan pada kawasan yang telah digazetkan.

Selain itu katanya, masa dan had waktu mesti ditetapkan serta kawasan larangan bagi basikal lajak demi keselamatan penunggang basikal tersebut maupun pengguna jalan raya yang lain.

“Sekiranya mengharamkan penggunaan basikal lajak dan tindakan undang-undang dikenakan, apakah ia akan tetap tidak akan wujud lagi.

“Oleh kerana itu cara yang terbaik harus difikirkan agar aktiviti tersebut diteruskan dengan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang.

“Menghadkan waktu, umur dan kawasan yang dibenarkan mesti dikuatkuasakan dengan kadar segera oleh pihak berkuasa,” tambahnya.

Malah ujarnya, membiarkan aktiviti basikal lajak tanpa pemerhatian dan kuatkuasa undang-undang mampu mengundang bahaya dan mengancam nyawa pelbagai pihak.

Sehubungan itu katanya, pihak berkuasa harus segera mengambil tindakan drastik bagi memastikan aktiviti tersebut diteruskan dengan beberapa reformasi demi masa depan dan keselamatan remaja yang berminat serta masyarakat sekeliling.