Malaysia Dateline

KBS salur RM60 juta untuk pembangunan infra sukan dan belia di Terengganu

Kementerian Belia dan Sukan akan menyalurkan peruntukan RM60 juta untuk pembangunan infrastruktur sukan dan belia di Terengganu tahun ini, kata menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata peruntukan tersebut termasuk memulakan pembinaan tiga projek yang dicadangkan kerajaan sebelum ini iaitu velodrom di Dungun dan masing-masing sebuah Kompleks Sukan Mini di Jabi, Besut dan Telemong di Hulu Terengganu.

“Selain sukan berbasikal, KBS dengan kerjasama kerajaan negeri juga akan memberi tumpuan untuk pembangunan sukan air di sekitar Pulau Duyong dan kawasan pantai di Terengganu.

“Pembangunan infra sukan ini juga secara tidak langsung akan merangsang sektor pelancongan di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke sesi ‘town hall’ bersama 2,500 pelajar sekitar Kuala Terengganu serta wakil persatuan dan penggerak belia negeri di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.

Syed Saddiq juga meluangkan masa hampir dua jam untuk memberi penerangan berkaitan dasar-dasar kerajaan dan sesi soal jawab berkaitan mahasiswa serta belia.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UniSZA dan Majlis Sukan Negara serta Majlis Sukan Negeri Terengganu bagi kerjasama pembangunan atlet negeri ini.

Syed Saddiq berkata MoU itu sangat penting kerana ia berkait rapat dengan kebajikan atlet selaras hasrat kerajaan pusat dan negeri untuk memastikan langkah proaktif dalam menempatkan atlet muda ke universiti.

“Kita sasar tahun ini untuk pastikan setiap negeri ada satu universiti awam yang akan dijadikan tempat bagi para atlet belajar, boleh dapat pemindahan kredit kursus, bantuan kewangan melalui biasiswa dan pada masa sama jadual pengajian yang lebih fleksibel.

“Kita dah buat dengan Universiti Malaya dan beberapa universiti lain, swasta pun ada dengan Help University dan Taylor’s University. Jadi kita nak pastikan ia diperluaskan supaya pencarian dan latihan bakat tak perlu semua dibuat di Bandar Sukan Kuala Lumpur atau di Majlis Sukan Negara sahaja,” katanya.

— BERNAMA