Malaysia Dateline

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak mengarahkan siasatan segera dilakukan kepada KBS.

KBS tumpu program pembangunan Infra Sukan Luar Bandar tahun depan

Mulai tahun depan Kementerian Belia dan Sukan akan memfokuskan kepada Program Pembangunan Infra Sukan Luar Bandar dalam usaha memastikan bidang itu dapat merangkumi semua lapisan masyarakat di negara ini.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata selain bertujuan merakyatkan sukan, program itu juga diadakan dalam usaha kementerian untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam pelbagai bidang sukan berprestasi tinggi.

“Mulai tahun depan kita akan mengadakan ‘Rural Outreach Programme’ ini kerana kita nak pastikan setiap satu anak muda yang berpotensi, yang boleh diasah bakat kepimpinannya, dapat diangkat supaya suara anak muda tidak ditenggelami.

“Kita akan hantar wakil kita ke luar bandar untuk cari bakat-bakat muda ini, yang dikendalikan oleh Institut Sukan Negara (ISN), berjumpa dengan golongan muda di luar bandar termasuk Orang Asli untuk dimasukkan ke Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN bagi mewakili negara pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Cruyff Court Felda Lurah Bilut, program gelanggang futsal komuniti berasaskan rumput tiruan, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Yayasan Hasanah (Hasanah) Shahira Ahmed Bazari dan Duta Natherlands ke Malaysia Karin Mossenlechner serta Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti Felda) Anuar Malek.

Selain itu katanya, KBS akan memastikan pembangunan infrastruktur sukan di kawasan luar bandar seperti Felda dan Sabah serta Sarawak terus dipertingkat, sesuai dengan hasrat kementerian untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sukan dan dasar sukan untuk semua.

“Pelan pembangunan sukan dan program akan disasarkan di kawasan itu kerana kawasan bandar sudah pun mempunyai kesemua kemudahan sukan,” katanya.

Cruyff Court di Lurah Bilut, yang kelima seumpamanya yang diwujudkan dalam negara, merupakan program gelanggang futsal komuniti berasaskan rumput tiruan yang disediakan secara percuma bagi memberi peluang kepada masyarakat khususnya golongan kanak-kanak dan remaja untuk bergerak aktif di samping memupuk semangat perpaduan menerusi aktiviti sihat.

Program itu diilhamkan oleh lagenda bola sepak Belanda, Johan Cruyff menerusi Yayasan Johan Cruyff dan program Cruyff Court telah dibawa masuk ke Malaysia oleh Khazanah Nasional menerusi Hasanah.

Hasanah dengan kerjasama Yayasan Johan Cruyff secara berperingkat dijangka akan mewujudkan sebanyak 20  Cruyff Court di Malaysia dengan yang keenam dijadual akan dibina di Kelantan tidak lama lagi.

— BERNAMA