KDN beri masa seminggu The Star jawab surat tunjuk sebab

KDN beri masa seminggu The Star jawab surat tunjuk sebab

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada akhbar berbahasa Inggeris The Star kerana laporan muka depannya bertajuk “Malaysian Terrorist Leader” yang disertakan dengan gambar umat Islam sedang mengerjakan solat Sabtu lepas.

“Kementerian amat dukacita akan tajuk berita itu pada halaman yang turut dimuatkan gambar yang tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan berita berkenaan dan sangat tidak sesuai disiarkan pada halaman yang sama kerana ia mengelirukan, menimbulkan salah faham dan prejudis kepada umat Islam yang mungkin akan dikaitkan dengan keganasan.

“Ia juga secara tidak langsung mempersendakan agama Islam,” kata kenyataan KDN hari ini.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa surat tunjuk sebab itu diberikan kepada editor The Star yang dipanggil ke kementerian hari ini.

“Akhbar The Star diberikan tempoh tujuh hari untuk menjawab surat tunjuk sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 termasuk digantung permit penerbitan,” kata Ketua Setiausaha KDN Alwi Ibrahim.

Empat editor kanan akhbar milik MCA itu dipanggil ke kementerian dalam negeri pagi ini untuk memberikan kenyataan berkenaan muka depan akhbar itu Sabtu lepas yang dikritik sesetengah pihak sebagai tidak sensitif kepada orang Islam.

Empat wakil itu- editor eksekutif Rozaid Abdul Rahman, Brian Martin dan N. Dorairaj, serta editor khas M.Shanmugam- dilihat memasuki bangunan kementerian di Putrajaya sebelum tengah hari, menurut akhbar harian berbahasa Melayu, Utusan Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Alwi Ibrahim berkata yang akhbar itu cuai dalam menerbitkan gambar orang Islam menunaikan solat tarawih dengan tajuk berita utamanya “Malaysian Terrorist Leader”.

Ketua Editor Leanne Goh sedang berada di Amerika Syarikat.

Ahli politik daripada pelbagai parti mengkritik muka depan The Star dengan menyifatkannya sebagai memberikan gambaran bahawa semua orang Islam adalah pengganas.

Dalam pada itu, The Star juga telah membuat permohonan maaf atas perkara tersebut, semalam.

Menurut akhbar tersebut, adalah menjadi amalan akhbarnya menerbitkan gambar umat Islam menunaikan solat Tarawih di muka depan pada hari pertama Ramadan, kerana menghormati bulan mulia ini.

COMMENTS

Wordpress (0)