KDN bincang calon ketua polis negara, timbalan dalam masa terdekat

KDN bincang calon ketua polis negara, timbalan dalam masa terdekat

Senarai calon bagi mengisi jawatan ketua polis negara dan timbalannya akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata satu perbincangan bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan dibuat bagi memilih calon untuk kedua-dua jawatan penting badan keselamatan negara itu.

“Kita akan putuskan nanti pengganti-pengganti bagi kedua-kedua jawatan penting dalam (pasukan) polis. Insya-Allah saya akan berbincang dengan Perdana Menteri (Dr Mahathir) dan akan diputuskan dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media, di Semenyih hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa Bersatu Hulu Langat dan ketua-ketua kampung serta menziarahi keluarga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor.

Sebelum ini dilaporkan kontrak perkhidmatan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Timbalannya Tan Sri Noor Rashid Ibrahim akan tamat pada Mei ini.

Sementara itu, ditanya tentang isu gejala dadah ketika ini, Muhyiddin secara peribadi mengakui masalah tersebut semakin membimbangkan.

“Trend dadah membimbangkan kerana ada dadah-dadah jenis baharu dan sudah tersebar luas serta melibatkan orang awam serta golongan bawah umur 18 tahun.

“Bagaimanapun, KDN (Kementerian Dalam Negeri) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mempunyai rancangan khusus yang berterusan untuk menangani masalah itu,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 115,000 kes dadah dikesan bagi tempoh 2014 hingga tahun lepas dengan 3.2 peratus atau 3,680 kes membabitkan golongan bawah 18 tahun.

— BERNAMA