Malaysia Dateline

Tutntutan memansuhkan akta hasutan harus diteruskan kata Shazni Munir

KDN masih kaji pemansuhan akta hasutan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji cadangan penambahbaikan akta terhadap mana-mana pihak yang terus membangkitkan isu sensitif terutama yang menyentuh sensitiviti keagamaan kaum dalam negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menjelaskan, kementerian dengan itu masih lagi menjalankan kajian lanjut berhubung pemansuhan Akta Hasutan 1948.

Tan Stri Muhyiddin Yassin

Justeru katanya, sebarang pindaan terhadap jenis hukuman hanya boleh diputuskan setelah kajian selesai.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pihak yang membangkitkan isu sensitif khususnya menerusi penyebaran maklumat yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara.

“KDN ketika ini sedang membuat kajian dan cadangan penambahbaikan ke atas akta-akta sedia ada supaya tindakan lebih berkesan dan menyeluruh dapat diambil oleh pihak polis terhadap mana-mana pihak yang terus membangkitkan isu-isu sensitif tersebut.

“Kementerian ini melalui penguatkuasaan polis akan mengambil tindakan segera dengan membuat tangkapan dan pendakwaan terhadap sebarang perlakuan tersebut,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian yang menjawab persoalan Datuk Halimah Mohamed Sadique (BN Kota Tinggi) yang meminta penjelasan berhubung pemindaan akta sedia ada kepada hukuman yang lebih berat terhadap mereka yang menghina atau mempersenda isu-isu agama.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa kementerian akan meningkatkan program kesedaran kepada masyarakat supaya lebih sensitif terhadap sentimen perkauman, keagamaan dan institusi Diraja melalui kempen-kempen kesedaran bersama orang awam.

Akuinya juga, perbuatan tersebut jika tidak dibendung akan mengganggu ketenteraman dan keharmonian yang dinikmati rakyat selama ini.

“Kementerian berpendirian bahawa kesalahan yang berkaitan dengan perlindungan institusi Diraja, kaum dan agama perlu terus dikekalkan dengan memindahkannya ke dalam undang-undang lain sedia ada seperti Kanun Keseksaan atau pun diwujudkan undang-undang baru sekiranya perlu.

“Ini bagi memastikan tiada kelompangan undang-undang berlaku sekiranya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.

“Pihak polis akan terus mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan menghina, mempersenda atau memainkan isu-isu agama,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata pihak polis telah menubuhkan unit pemantauan dan siasatan terhadap penyalahgunaan media sosial di peringkat daerah.

Ini kerana katanya, tindakan segera boleh diambil sebelum isu sensitif yang dimainkan oleh pihak terbabit merebak menjadi permusuhan antara agama dan bangsa.