Malaysia Dateline

Tindakan akhbar The Star memaparkan gambar umat Islam berterawih di bawah tajuk berita berkaitan pengganas mengundang kecaman

KDN panggil ketua pengarang The Star esok

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memanggil Ketua Pengarang akhbar berbahasa Inggeris The Star susulan kandungan muka depan akhbar itu yang tidak sensitif kepada umat Islam di negara ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim, berkata pihaknya kecewa dengan akhbar tersebut yang secara sambil lewa memaparkan gambar umat Islam menunaikan solat Tarawih pada malam pertama Ramadan, namun tajuk muka depannya tertulis ‘Malaysia Terrorist Leader’.

“Esok kita akan panggil Ketua Pengarang akhbar berkenaan untuk mendengarkan penjelasan mereka berhubung penyiaran gambar dan tajuk di muka depannya hari ini.

“Jika KDN tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan tindakan selanjutnya akan diambil termasuk mengeluarkan surat tunjuk sebab,” katanya kepada pemberita pada Program Penerapan Nilai-Nai Murni yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid di Masjid Tok Jembal hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Alwi berkata tindakan akhbar itu sangat mengecewakan memandangkan KDN telah memanggil pengurusan akhbar terbabit pada 23 Mei lepas untuk memberikan garis panduan mengenai penerbitan yang sepatutnya dikeluarkan.