Malaysia Dateline

KDN terima laporan wujud kartel dalam Jabatan Imigresen

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan, menerima maklumat mengenai kewujudan kartel di pelbagai peringkat dalam kalangan pegawai imigresen sehingga menjejaskan tahap integriti jabatan tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata kegiatan melanggar undang-undang itu akan disiasat dengan rapi dan telus.

Menurutnya, kewujudan kartel dengan pembabitan pegawai dalaman, membolehkan mereka bebas di pejabat jabatan itu, termasuk di pintu masuk lapangan terbang.

Jelasnya, sindiket itu menggunakan pegawai dalaman di beberapa peringkat dalam Jabatan Imigresen untuk bekerjasama dengan mereka.

“Contohnya, di Sabah baru-baru ini, ada iklan di media sosial memaparkan individu yang ingin mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) boleh mendapatkan dari individu tertentu.

“Imigresen tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk mengeluarkan PLKS dan perkara ini sudah menyalahi undang-undang,” katanya dalam sidang media sempena Sambutan Hari Imigresen 2021 di Putrajaya hari ini.

Beliau menegaskan Jabatan Imigresen tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk mengeluarkan PLKS dan sekiranya ia diiklan menerusi media sosial, perbuatan itu adalah menyalahi undang-undang.

Hamzah berkata, ia adalah sesuatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan PLKS tidak boleh diperoleh secara yang sah tanpa mendapat kelulusan pegawai dalaman Imigresen.

Katanya, beliau sudah memaklumkan kepada Ketua Pengarah Imigresen untuk menyiasat serta mengambil tindakan terhadap pegawai yang tidak bertanggungjawab dan bersekongkol dengan sindiket berkenaan.

“Kita mahu perkara sebegini tidak akan timbul lagi. Oleh sebab itu, kita menangani cabaran ini melalui teknologi tinggi supaya dapat menghindarkan isu kartel dan orang luar yang boleh merosakkan imej integriti Imigresen,” tambahnya lagi.