KDN akan kaji sebelum pinda, gubal akta baharu, kata Muhyiddin

KDN akan kaji sebelum pinda, gubal akta baharu, kata Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, kementeriannya akan mengkaji terlebih dahulu kesemua akta yang dijanji akan dimansuhkan seperti terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, sebarang tindakan untuk memansuhkan atau meminda sesuatu akta akan dikaji sama ada perlu digantikan dengan akta yang baru.

“Kita akan semak dan ganti balik jika ada keperluan. Kita akan kaji sebelum nak buat apa-apa tindakan dan kita akan ambil kira semua pandangan aktivis, Suhakam dan beberapa pihak.

“Pendekatan kita (PH) adalah terbuka dan tidak berselindung. Semua pihak ada hak dan tanggungjawab.

“Perbincangan dengan mana-mana NGO juga akan dilakukan sebelum mana-mana peruntukan mahu dipinda,” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Sidang media itu diadakan selepas beliau memulakan tugasnya hari ini selepas mengangkat sumpah memegang jawatan semalam.

Dalam manifesto PH,menyenaraikan 10 akta dan peruntukan undang-undang yang akan dimansuhkan sekiranya menjadi kerajaan.

Antara akta yang disenaraikan ialah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, hukuman gantung mandatori, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Kesalahan keselamatan Langkah-langkah Khas 2012 (Sosma);Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).