KDNK 4.7 peratus bagi 2018 adalah sihat – pakar ekonomi

KDNK 4.7 peratus bagi 2018 adalah sihat – pakar ekonomi

Pakar ekonomi menyifatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2018 pada  4.7 peratus adalah sihat, walaupun rendah sedikit daripada 5.9 peratus dicatatkan negara pada 2017.

Ketua Pakar Ekonomi Alliance Bank Malaysia Bhd Manokaran Mottain berkata pertumbuhan pada 4.7 peratus masih dikira sihat bagi negara membangun seperti Malaysia, berbanding perkembangan 4.2 peratus dicatatkan negara pada  2016 dan 4.7 peratus pada 2013.

“Selagi pertumbuhan masih di atas paras tiga peratus, ekonomi mungkin masih belum mengalami kemelesetan,” katanya kepada Bernama.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid turut berkongsi pendapat yang sama dengan menyatakan pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih tinggi pada suku keempat (Q4) 2018 berbanding  4.5 peratus dan 4.4 peratus masing-masing bagi Q2 2018 dan Q3 2018, khususnya dipacu oleh perbelanjaan pengguna yang berkembang pada paras lebih tinggi daripada trend.

“Peningkatan dalam eksport kepada 1.3 peratus pada  Q4 selepas menguncup 0.8 peratus pada suku sebelumnya telah turut membantu pertumbuhan keseluruhan dalam suku terakhir tahun lepas,” katanya.

Pakar Ekonomi Institut Penyelidikan RHB Peck Boon Soon berkata walaupun keseluruhan pertumbuhan KDNK 2018 mewakili kelembapan dalam kegiatan ekonomi, ia masih dianggap sihat kerana ia disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam penggunaan swasta dan sebahagian lagi dirangsang oleh pengecualian cukai selama tiga bulan.

Bagaimanapun, menurutnya pertumbuhan itu terjejas oleh penurunan eksport dan pelaburan swasta dengan pengurangan perbelanjaan oleh orang ramai disebabkan pengukuhan fiskal untuk membendung bajet defisit yang akan memburukkan lagi perkara itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif  Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER)Profesor Emeritus  Dr Zakariah Abdul Rashid berkata pertumbuhan KDNK tahun lepas sepatutnya lebih baik, sekiranya keyakinan orang ramai tidak terjejas oleh pembaharuan struktur yang dilaksanakan.

“Malaysia ketika ini sedang menjalani pembaharuan struktur, jadi apabila kami memutuskan untuk berbuat demikian, ekonomi pastinya lebih perlahan sedikit, tetapi kita akan mengalami prestasi pertumbuhan lebih mampan untuk jangka panjang,”katanya.

Mengenai implikasi faktor luaran, Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka menurut Manokaran, lebih berdaya tahan terhadap cabaran luaran seperti perang perdagangan AS-China berlarutan dan pertumbuhan global lebih perlahan, ditambah dengan ketidaktentuan politik dalam negara disebabkan oleh pertukaran kerajaan dan penyelarasan semula fiskal.

“Kami berharap Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang baru ditubuhkan akan merumuskan strategi baharu ekonomi yang dapat mengemudi ekonomi ke landasan dan pertumbuhan lebih kukuh,” katanya.

Senada dengan pandangan Manokaran, Zakariah berkata penubuhan EAC adalah baik kerana semua kementerian berkaitan dan pakar boleh bergabung tenaga dan menyelesaikan masalah ekonomi kompleks yang dihadap negara.

“Masalah ekonomi kita adalah kompleks, dan ia tidak dapat diselesaikan oleh sebuah kementerian secara sendirian, sama ada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi,” katanya.

Beliau mengambil perhatian bahawa majlis itu tidak akan menyelesaikan masalah itu dalam jangka pendek tetapi lebih kepada menambah baik struktur ekonomi untuk jangka panjang.

“Oleh kerana kita tidak akan melaksanakan inisiatif Transformasi Negara 2050 (TN50) yang diilhamkan kerajaan terdahulu, kerajaan perlu mengemukakan visi lain untuk menentukan hala tuju lebih jelas bagi masyarakat perniagaan atau membuat keputusan untuk mereka bergerak ke depan,” beliau mengesyorkan.

Sementara itu, Peck mengesyorkan Malaysia untuk melihat kepada aspek merangsang enjin eksportnya berikutan kekangan fiskal yang dihadapi.

Negara, katanya turut bergantung pada penggunaan swasta untuk memacu pertumbuhan ekonomi untuk sekian lama.

“Ini berlaku kerana saiz pasaran domestik tidak cukup besar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih memberangsangkan, pemulihan enjin eksport penting untuk membawa kembali pelaburan swasta ke negara bagi membolehkan mengekalkan pendapatan lebih kukuh dan pertumbuhan ekonomi negara,” kata pakar ekonomi Institut Penyelidikan RHB itu.

Beliau berkata berbanding dengan KDNK direkodkan oleh negara ASEAN yang lain seperti Filipina (6.8 peratus), Vietnam (7.1 peratus), Indonesia (5.17 peratus), Thailand (diunjurkan 4.2 peratus), data itu menunjukkan Malaysia ketinggalan di belakang jirannya.

Sementara itu, kebanyakan pakar ekonomi mengunjurkan pertumbuhan KDNK pada tahun depan adalah sederhana pada sekitar 4.5 hingga 4.6 peratus.

“Kami jangkakan suku pertama KDNK 2019 berkembang pada 4.4-4.6 peratus, manakala pertumbuhan tahun penuh akan menyederhana kepada 4.5 peratus disandarkan pada pengurangan perbelanjaan orang ramai dan sektor pembuatan dan perlombongan yang sederhana,” kata Manokaran.

Sementara itu, Zakariah berkata faktor luaran seperti keyakinan orang ramai, khususnya dari segi pembaharuan struktur ketika ini membabitkan beberapa pengubahsuaian dalam pengurusan ekonomi makro, bersama-sama dengan faktor luaran seperti ketegangan perdagangan antara AS dan China dan harga minyak mentah, akan memperlahankan pertumbuhan KDNK kepada 4.5 peratus pada 2019.

Mohd Afzanizam berkata pertumbuhan berisiko condong kepada aliran menurun berikutan ketegangan perdagangan dan syarat kewangan global lebih ketat.

“Kita menyaksikan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Global secara konsisten pada aliran menurun, mencadangkan pembuatan untuk amat berhati-hati dalam unjuran mereka. Ini akan memberikan kesan terhadap keputusan pengambilan buruh dan modal perbelanjaan.

“Pada masa sama, kami mengunjurkan pertumbuhaan perbelanjaan pengguna akan kembali kepada keadaan biasa  2019 selepas mengalami trend pertumbuhan lebih tinggi pada 2018 dan 2017,” katanya.

Oleh itu, beliau berpendapat penting untuk kerajaan mempercepatkan pembangunan perbelanjaan untuk merangsang pertumbuhan dan menyuntik keyakinan kepada ekonomi.

Berdasarkan pengumuman Bajet 2019, pembangunan perbelanjaan (DE) bagi tahun ini ditetapkan sebanyak RM54.7 bilion iaitu lebih tinggi daripada 2010-2017 pada purata RM44.4 bilion.

Bajet DE telah ditetapkan dan dengan itu waktu untuk penyalurannya amat penting bagi membina keyakinan, katanya.

“Kami mengekalkan unjuran kami bagi KDNK 2019 pada 4.5 peratus berikutan ketidaktentuan faktor luaran serta pengguna akan berbelanja seperti biasa berikutan kegiatan pelaburan berhati-hati oleh sektor swasta dan awam,” katanya.

Sementara itu, Peck berkata RHB Research juga menjangkakan pertumbuhan ekonomi sederhana tahun ini pada sekitar 4.6 peratus, dengan mengambil kira persekitaran ekonomi global yang mencabar dan kekangan dihadapi kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaannya.

“Keadaan ini mungkin akan diburukkan lagi oleh kelembapan sektor perumahan dan penurunan harga komoditi yang merupakan pemacu penting ekonomi domestik,” katanya.

— BERNAMA