Malaysia Dateline

Ke Istanbul jua akhirnya

Kota Istanbul adalah antara kota tercantik yang pernah saya kunjungi. Tarikan Istanbul bukan setakat sejarahnya atau seni bina bangunan tetapi masyarakat tempatan yang moden, sekular tetapi Islamis. Kota ini pernah melakar sejarah sebagai kuasa besar dunia yang memiliki armada tentera terhebat.

Kota dua benua. Kota pertembungan tamadun dan budaya utama dunia. Kota yang pernah Laksamana Hang Tuah sampai ke sini dengan bahtera ‘Mendam Berahi’. Memang wajar untuk rakyat Malaysia pergi. Apatah lagi pemimpin negara. Memang patut berkunjung ke Istanbul. Itulah tanda pemimpin yang menghargai sejarah bangsa.

Pada tahun 2009, UNESCO mengisytiharkan kota Istanbul sebagai kota warisan Eropah biarpun keanggotaan Turki dalam EU masih belum menyeluruh. Keanggotaan Turki dalam EU hanya melibatkan soal kebudayaan, sukan dan belum mencapai perjanjian dalam ekonomi.

Pengalaman saya beraya di United Kingdom, tahun pertama saya sekeluarga raikan di Manchester. Tahun kedua, kami beraya di Swansea, tempat tinggal kami selama empat tahun di UK. Tahun ketiga, kami beraya di Sweden, antara negara termahal di dunia. Tahun berikutnya, kami beraya di Istanbul. Alang-alang tidak beraya di kampong halaman, biarlah beraya sakan di tempat orang.

Petang terakhir Ramadhan di sebuah kedai karpet di hadapan stesyen tren Sultanahmet yang sibuk; saya dipujuk oleh peniaga itu untuk masuk ke kedainya. Oleh kerana kami dari Malaysia, layanannya memang luar biasa sekali. Tujuannya untuk kami tertarik dengan karpet-karpet yang diperagakan di kedai itu. Turki terkenal sebagai pengeluar karpet. Dia menunjukkan puluhan jenis karpet dari tenunan tangan hinggalah corak yang moden.

Akhirnya saya alah untuk membeli. Barangkali sebagai galang gantinya, pekedai itu menjemput kami sekeluarga berbuka puasa di kedainya itu. Saya bersangka baik mungkin terselit juga dalam nawaitunya untuk bersedekah di bulan mulia ini. Namun ini juga adalah sebahagian politik orang berniaga. Ini kerana kulihat tadi, peniaga tadi merokok. ‘No thanks, we are fasting’, aku memberitahu semasa peniaga itu menawarkan air penghilang dahaga. Cepat-cepat disorokkan baki puntung rokok yang ada pada tangannya.

Hari terakhir bulan Ramadhan itu, banyak laluan utama kota Istanbul sibuk. Orang ramai memang sesak dan sibuk mencari persiapan terakhir sebelum mereka menyambut hari raya Aidil Fitri. Sebuah canopy besar yang terletak berhampiran laluan itu menjadi tumpuan orang ramai kerana menyediakan jamuan berbuka puasa percuma. Ingin juga saya berbaris untuk berkongsi pengalaman berbuka puasa di tempat awam. Namun, saya batalkan kerana orang yang berbaris menunggu giliran berbuka puasa itu terlalu panjang. Biarlah saya pilih menjadi saksi dari jauh daripada berbaris panjang sekadar ingin mendapatkan pengalaman begitu. Tambahan pula, saya mendapat jemputan untuk berbuka puasa oleh peniaga karpet tadi.

Majlis berbuka puasa di tingkat atas bangunan kedai karpet itu agak eksklusif. Disediakan beberapa meja dan aneka makanan Turki yang aku sendiri tidak tahu namanya. Balkoninya luas menghadap bangunan Aya Sofia dan Masjid Biru yang menarik. Langit senja yang kekuningan melatari hujung waktu Ramadhan itu bagai sebuah lukisan. Tentu sekali kami tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto sebagai kenangan berada di situ.
Sayapun bergambar dengan tuan kedai yang pemurah itu. Masa itu, kami gunakan kamera untuk merakamkan kenangan. Teknologi handphone yang mempunyai telefon masih mahal. Tiadalah idea hendak update dalam facebook peribadi.

Sementara menanti waktu berbuka, kami bersembang sesama kami tentang kemurahan di bulan mulia ini. Setidak-tidaknya, petang itu menunjukkan betapa murahnya rezeki kami mengembara di bulan puasa.

Hidangan makanan yang pelbagai jenis, menjadikan kami sedikit keliru. Sup kambing, kuah dal, manisan, bubur, roti yang pelbagai dan pulut sejemput tersedia di hadapan kami. Bagaimana harus kami memulakan untuk berbuka puasa ini? Baca doa makan, semuanya pasti beres! Ambil makanan yang paling hampir dengan kita. Itulah adab makan mengikut sunnah.

Azan dari menara Masjid Biru bersahut-sahutan kedengaran menandakan waktu berbuka puasa dan maghrib. Beberapa masjid lain melaungkan azan bersilih ganti seperti keadaan di Mekah. Suara membesarkan Tuhan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Pemurah. Laungan mengajak manusia sujud kepada Tuhan yang Esa. Hilang rindu pada kampong halaman sebentar bila mendengar merdu dan mendayunya suara muazin itu. Bagai berderai air mata kesyahduan.

Selepas solat Isya’, saya tanya kepada salah seorang jamaah di Masjid Biru tentang waktu sembahyang raya esok. ‘Eight o’clock’ jawabnya. Make sure you come early. The space for sisters is very limited. Dia memberikan pandangan yang kukira memang munasabah untuk difikirkan. Ini bermakna kami perlu awal-awal sampai untuk tidak ketinggalan bersembahyang raya di masjid yang pernah menjadi kandang kuda semasa era Kamal Ataturk.
Saya fikir dari segi ganjaran bersembahyang di masjid ini sama dengan masjid-masjid lain. Tetapi setidak-tidaknya, Sultan Muhammad al Fateh, pembinasa Empayar Byzantine itu adalah antara tokoh Islam yang pernah bersembahyang di sini. Saya tumpang menikmati ‘syafaat’ pemimpin besar itu.

Nada takbir rayanya tidaklah mendayu-dayu seperti di tanahair. Saya bertakbir bersama-sama ahli jamaah lain. Saya duduk beriktikaf di bawah kubah besar. Lingkaran lampu yang berwarna keemasan menjadikan suasananya begitu syahdu. Suara imam cukup jelas bergemersik tatkala memimpin laungan takbir. Baju Melayu yang kupakai membezakan antara aku dengan ribuan jamaah lain yang kebanyakannya berkot dan bertali leher. Sekurang-kurangnya masih tebal keMelayuanku di bumi asing.

Bendera Turki besar digantung di pintu utama masuk Masjid Biru. Deretan polis berbaris mengawal kemasukan setiap ahli jamaah. Jika membawa beg, polis akan periksa sebelum dibenarkan masuk. Tidak seperti waktu-waktu lain. Saya fikir lebih dua tiga ratus anggota polis beruniform mengawal di kawasan Masjid Biru itu.

Saya difahamkan, Presiden Turki pada masa itu, Abdullah Gul dijadualkan bersolat di sini. Ini merupakan protokol dan prosedur keselamatan yang melibatkan pemimpin utama negara. Terasa bimbang juga. Kewujudan anggota polis kadangkala dikaitkan dengan keadaan yang tidak selamat. Wajah serius polis itu menambah-nambahkan lagi ketegangan di pagi raya.

Istilah ‘keselamatan’ memiliki definisi yang pelbagai. Sama juga dengan istilah lawatan rasmi dengan lawatan tidak rasmi. Seperti juga ucapan Selamat Hari Raya pemimpin yang tersiar dalam akhbar atau kaca televisyen. Slogan tersebut lebih untuk memastikan kedudukan mereka sebagai pemimpin terus selamat. Itu sebenarnya ucapan untuk diri sendiri meski secara umumnya ucapan tersebut untuk orang lain. Dalam politik, bahasa tidak sama dengan makna dalam kamus. Politik membina makna yang tersendiri. Termasuklah, mengucapkan Selamat Hari Raya.
————
*Artikel ini adalah sebahagian daripada tulisan dalam buku penulis bertajuk ‘Meredah Eropah’ yang sedang dalam proses pembikinan. Buku tersebut mengandungi pengalaman penulis tinggal di United Kingdom selama empat tahun bagi menyiapkan pengajian PhD.