Malaysia Dateline

Ke mana hala tuju Azmin Ali dalam jangka masa panjang?

Politik Malaysia baru-baru ini ibarat “roller-coaster”. Naik-turun tidak menentu dalam setiap jam minit. Ramai yang telah menzahirkan idea-idea mengenai landskap politik Malaysia dari kaca mata keseluruhan.  Malah, tidak kurang juga yang meramalkan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri yang kelapan.  Namun, tulisan ini lebih berminat untuk merungkai isu yang bersifat jangka masa panjang yakni kelangsungan politik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sehingga terkini, pejabat Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah perkenan  perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.  Ini bermakna Azmin Ali telah berada di pihak yang menang.  Barangkali, beliau mungkin akan dilantik menjadi menteri sekali lagi.

Namun, isu ini bukan isu yang ingin dikupas.  Sama ada be.lau akan dilantik sebagai menteri atau sama ada beliau berada di pihak yang berjaya menjadi Perdana Menteri kelapan, ianya hanya bersifat sementara, iaitu sehingga Pilihan Raya Umum pada tahun 2023.

Daripada semua desas-desus yang timbul setakat ini, ditambahkan dengan alternatif yang akan saya tambahkan, Azmin Ali mempunyai 3 pilihan iaitu menubuhkan parti baru, menyertai salah satu parti Melayu/Islam (Bersatu, Umno atau Pas) atau menyertai Gerakan atau parti-parti seumpamanya.

Seperti yang sedia diketahui, tidak mudah untuk menubuhkan parti baru di Semenanjung Malaysia, terutamanya dari segi kelangsungan politik jangka masa panjang.  Bagi saya, parti baru (lazimnya parti serpihan) yang mampu bertahan dan berfungsi sebagai sebuah parti yang kuat hanyalah Pas dan PKR.  Bagi AMANAH, kekuatannya sebagai satu parti tunggal masih tidak diuji.  Bersatu pula, kemungkinan untuknya menjadi parti politik yang kuat agak tinggi, namun pada masa kini, ianya masih dianggap sebagai parti baru dari segi usia.

Kembali kepada perbincangan Pas dan PKR – penubuhan Pas berlaku pra-kemerdekaan.  Pada zaman itu, tidak banyak parti politik yang wujud (tidak banyak dilihat sebagai parti politik yang kukuh).  Tambahan pula, ideologi Pas adalah berlandaskan Islam berbanding kaum.  Satu ideologi yang agak asing berbanding dengan lanskap politik pada masa itu.

Untuk kes PKR pula, cuba untuk menerokai dimensi baru dengan menubuhkan satu parti politik yang tidak berlandaskan identiti (atau ramai melihatnya sebagai sebuah parti yang berlandaskan kepelbagaian kaum dan agama; tidak kira sama ada kita mengambil versi rasmi PKR yang menyatakan tanpa-identiti kaum dan agama, mahupun mengambil definisi kepelbagaian kaum dan agama, rumusan struktur PKR tetap sama secara praktikalnya).

Risikonya tidak rendah, namun hala tuju parti merentasi sempadan kaum dan agama dilihat mula berjaya hanya selepas dapat bertahan selama satu dekad (pada tahun 2004, PKR hanya memenangi satu kerusi Parlimen, yakni Permatang Pauh).  Ini semestinya dikukuhkan lagi dengan pengaruh Anwar Ibrahim serta kesanggupan parti-parti pembangkang pada masa itu bekerjasama dengan PKR (saling membantu dari segi meraih undi).

Tiada ruang untuk Azmin tubuh parti baharu

Namun, dalam landskap politik sekarang, saya tidak dapat melihat wujudnya satu ruang vakum yang dapat Azmin Ali tembus.  Sekiranya menubuhkan parti politik sayap kanan, sudah terlalu banyak parti politik berlandaskan Melayu di kedua-dua pihak (termasuk parti berlandaskan Islam, akan tetapi, parti berlandaskan Islam oleh Azmin Ali agak jauh dari realiti).

Sekiranya menubuhkan parti berlandaskan kepelbagaian mirip PKR, walaupun peluangnya lebih cerah berbanding parti sayap kanan, namun pada pendapat saya, kecerahan tersebut masih tidak melepasi tahap ambang yang diperlukan.  Saya khuatir Azmin Ali mendapat sokongan daripada masyarakat Cina.

Ini kerana berdasarkan pola pengundian pada pilihan raya umum 2018, yang mana 80-90% daripada pengundi Cina menjurus ke arah Pakatan Harapan (tidak kira sama ada mereka menjurus ke arah DAP atau ke arah hala tuju PH).  Azmin Ali agak sukar untuk mendapat sokongan daripada golongan ini kecuali wujud pengundi PH yang mengundi berdasarkan prinsip tolak BN (dan bukannya sokong PH).

Namun, saya percaya bilangan ini adalah samgat kecil.  Bagi pengundi Cina selebihnya, undi mereka menjurus ke arah BN (atau MCA).  Untuk golongan ini, saya percaya bahawa keyakinan dan sokongan mereka adalah kukuh kepada BN (atau MCA). Seperti kes PH, wujud kemungkinan bahawa undi kepada BN tidak semestinya menyokong BN tetapi lebih kepada menolak PH.  Azmin Ali boleh menarik golongan ini ke arahnya. Namun, dari segi peratusan, bilangannya sangat kecil.  Biarpun berjaya, ianya tidak sebenarnya dapat menjustifikasikan parti baru itu sebagai parti pelbagai kaum.

Secara ringkasnya, saya tidak melihat alternatif menubuhkan parti baru berkesan untuk masa depan politik Azmin Ali.

Kedudukan Azmin Ali  dan pengikut dalam gabungan

Ketiga-tiga parti ini boleh dikatakan sebagai parti yang kuat dengan struktur parti yang agak tegar.  Seperti biasa, dalam mana-mana parti politik yang sedemikian, tidak mudah untuk unsur baru (untuk kes sekarang, dimaksudkan individu baru) meresep ke dalam parti.  Biarpun wujud, ianya lazimnya bersifat en-bloc (keseluruhan) seperti berlakunya kerjasama Umno-Pas.  Memandangkan kedua-dua parti sudah kalah, kompromi lebih mudah tercapai berlandaskan prinsip “mendapat sesuatu ganjaran lebih baik daripada tidak memiliki apa-apa”.

Namun, dalam kes sekarang, kerjasama Bersatu-Umno-Pas berjaya membentuk kerajaan (atau berada di pihak yang menang), tidak kira parti manakah yang Azmin Ali akan sertai, di manakah kedudukan Azmin Ali dalam parti baru itu?  Sekiranya jawatan yang diberikan adalah tinggi, sanggupkah pemimpin parti tersebut memberi laluan kepada Azmin Ali?

Sekiranya jawatan yang diberikan kepada Azmin Ali tidak terlalu tinggi, sebagai contoh, sebagai ahli Majlis Tertinggi (lebih mudah diterima oleh pemimpin parti memandangkan jawatan tersebut tidak mengambil hak siapa-siapa pemimpin yang lain sertai hierarki jawatan tersebut tidak terlalu tinggi), sanggupkah Azmin Ali menerimanya (dari segi jangka masa panjang; untuk jangka masa pendek mungkin tidak bermasalah).

Oleh yang demikian, saya tidak melihat bagaimana Azmin Ali hendak berlangsung karier politiknya di Bersatu, Umno mahupun Pas.  Ini ditambahkan dengan bekas pemimpin-pemimpin PKR yang keluar parti mengikutinya.  Di mana pula hendak parti tersebut menempatkan Zuraida Kamaruddin dan lain-lain lagi.

Tidak dapat dinafikan, dalam masa singkat, beliau mungkin dapat ditempatkan di kedudukan yang tinggi.  Ini disebabkan oleh usaha dan jasa beliau dalam menjayakan pembentukan kerajaan baru.  Namun, berbalik kepada argumen di atas, di manakah kedudukan beliau selepas PRU ke-15.  Perbincangan ini menjurus ke arah masa depan jangka panjang dan bukan bertujuan memberi fokus utama terhadap apa yang sudah berlaku pada masa kini.

Sertai Gerakan

Alternatif ketiga adalah dengan menyertai parti Gerakan.  Langkah ini pernah didesas-desuskan sebelum ini.  Walaupun ramai yang menafikan langkah ini, namun langkah ini tetap boleh dianggap sebagai salah satu alternatif walaupun risikonya tinggi dan kecenderungan pihak Azmin Ali menyertainya dan Gerakan menerimanya adalah rendah.  Berbanding dengan kaedah pertama dan kedua yang dibincangkan di atas, cadangan ketiga ini dilihat sebagai tidak konvensional.

Sekiranya Azmin Ali menyertai Gerakan dan bukannya Bersatu, Umno mahupun Pas, isu kedudukan beliau dalam Gerakan tidak menjadi masalah berbanding ketiga-tiga parti Melayu tersebut.  Ini kerana kekuatan Gerakan kini sudah semakin lemah dan hanya hidup bernyawa-nyawa ikan sahaja.

Penyertaan Azmin Ali sememangnya akan meningkatkan keupayaan Gerakan dari segi kepimpinan, strategi, kebolehan dan sebagainya.  Ini ditambahkan dengan faktor penyertaan ahli Melayu yang berketokohan tinggi, sekaligus menjadikan Gerakan bersifat lebih kepelbagaian berbanding kini (Gerakan agak mirip DAP; walaupun Perlembagaan parti mereka menyatakan Gerakan sebagai parti kepelbagaian, namun secara hakikatnya, ia lebih dilihat sebagai sebuah parti Cina).

Dengan ini, Gerakan boleh menuju ke arah kepelbagaian yang baru berbanding terus kekal berada dalam kedudukan serba salah dengan posisi politik mereka.  Dengan kata ringkas, kelebihan yang ada pada Azmin Ali boleh membantu Gerakan maju ke hadapan.  Begitu juga dengan Azmin Ali, beliau lebih mudah diterapkan dalam kepimpinan tertinggi dalam Gerakan berbanding dugaan-dugaan yang perlu beliau hadapi jika beliau menyertai mana-mana daripada tiga parti Melayu yang dibincangkan.

Sekiranya Gerakan masih tidak berjaya meningkatkan keupayaan politiknya, beliau hanya boleh menyalahkan dirinya sendiri atas kekurangaan keupayaan dan bukannya disebabkan oleh politik dalaman yang menghalang kemajuan karier politiknya.

Satu tapak ke hadapan

Perbezaan utama antara kaedah pertama yakni menubuhkan sebuah parti baru ala PKR dan Gerakan adalah kewujudan satu tapak yang sedia ada untuk Azmin Ali membina strukturnya di atas berbanding penubuhan parti baru yang memerlukan beliau bermula dari sifar.

Tidak dinafikan, Gerakan kini sudah menjadi sangat lemah dan pilihan raya kecil Tanjong Piai hanya mampu meraihkan lebih seribu undi sahaja, namun seribu inilah yang dimaksudkan sebagai tapak asas.  Sokongan Cina, walaupun lemah seakan MCA, namun tidak terhapus secara total, dan golongan penyokong Gerakan inilah yang boleh dijadikan alasan sebagai parti kepelbagiaan sekiranya Azmin Ali ingin memulakan parti politik kepelbagaian.

Namu, pada masa yang sama, penyertaan Azmin Ali turut membawa keburukan kepada kedua-dua pihak.  Untuk pihak Azmin Ali, Gerakan merupakan sebuah parti yang sangat lemah jika dibandingkan dengan mana-mana parti politik utama negara.  Gerakan kini sudah tiada ahli bergelar Yang Berhormat.

Walaupun perebutan politik dalam Gerakan mungkin tidak menjadi satu halangan terhadap kedudukan Azmin Ali dalam parti itu, namun memegang jawatan tertinggi dalam parti selemah ini akan mengurangkan kuasa perundingan (bargaining power) beliau semasa berunding dengan parti-parti politik yang lain.  Pada masa yang sama, walaupun Azmin Ali mempunyai ketokohan politik yang tinggi, namun liabiliti yang dipikulnya juga tidak kecil.

Beliau dilihat oleh masyarakat Cina sebagai pengkhianat terhadap PH dan sistem demokrasi Malaysia.  Penyertaan beliau ke dalam Gerakan mungkin akan melemahkan lagi parti Gerakan; dari nyawa-nyawa ikan bertukar menjadi  anak ikan yang akan baham ikan yang lebih besar.

Jadi, inilah pertimbangan yang perlu diambilkira oleh kepimpinan Gerakan sama ada ingin mengambil risiko untuk mengembalikan kewibawaan Gerakan seperti zaman 60-an tetapi disertakan dengan risiko kemusnahan mutlak atau meneruskan kelangsungan politik mereka secara nyawa-nyawa ikan.

Secara ringkasnya, saya agak pesimistik terhadap masa depan Azmin Ali terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

 

*Penulis adalah  Penolong Professor Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia