Malaysia Dateline

Ke mana hala tuju kerajaan Melayu-Islam PN?

Kita telah berada di pertengahan bulan Ramadhan yang mulia ini dan insya Allah minggu hadapan kita akan mengadakan sidang Parlimen pertama sejak Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan.

Ramai menunggu penuh minat untuk melihat prestasi kerajaan Melayu-Islam yang di terajui oleh Umno dan Pas.

Walaupun rakan MCA tidak bersetuju gelaran nama kerajaan Melayu-Islam digunakan tetapi Umno dan Pas masih tekad dengan gelaran tersebut.

Di bawah himpunan Melayu dahulu Umno dan Pas berseragam berbaju Melayu berkeris serta bertanjak seperti Panglima Melayu yang gagah berani!

Kalau sidang Parlimen pun hanya berani dibenarkan hanya untuk satu hari tanpa sessi soal jawab, adakah mereka benar-benar pendekar? Atau hanya seperti Pendekar Mustar yang bersilat berseorangan dengan bayang-bayang sendiri?

Pejabat dan kedai boleh beroperasi, beriadah dibenarkan, kedai makan boleh dibuka. Tetapi Parlimen hanya dibenarkan sehari untuk beberapa jam sahaja. Di seluruh dunia Parlimen diteruskan secara sistem virtual.

Kalau inilah tahap kejantanan pendekar Melayu dari Perikatan Nasional yang berseragam baju Melayu bertanjak dan berkeris, ini adalah satu penghinaan kepada tradisi pahlawan Melayu yang sepatutnya gagah berani.

Di manakah isu tanah rezab Melayu yang hanya tinggal 12 peratus dan di manakah isu Felda dan Tabung Haji?

Di atas dakwaan PN ini adalah kerajaan memperjuangkan Islam yang diterajui oleh Pas, sepatutnya di bulan Ramadhan inilah mereka lebih tegas mempertahankan kedaulatan Islam yang sebelum ini mereka mendakwa tercabar dan terhakis. Sebaliknya yang telah berlaku.

Apabila Presiden MCA membantah konsep kerajaan Islam-Melayu PN, Pas membisu. Apabila Naib Presiden MCA yang dengan lantang membangkang dan hina hudud dilantik Timbalan Menteri Perpaduan, Pas membisu. Apabila kilang arak dibenarkan beroperasi semasa kilang lain ditutup, Pas membisu sehinggalah kami dari PH bersuara.

Sekarang Menteri yang menjaga urusan Parlimen adalah Setiausha Agung Pas. Tetapi hingga hari ini tidak nampak bayang atau gambaran langsung RUU 355, Hudud dan pengharaman judi dan arak di agenda Parlimen yang dipendekkan untuk hanya satu hari.

Parlimen mesti bersidang walaupun untuk hanya satu hari untuk mengelak dibubarkan kalau melebihi 6 bulan.

Di manakah sebenarnya letaknya roh dan semangat pahlawan Melayu-Islam PN ini selain dari menzahirkan pakaian luaran semata mata?

Berpuluh orang ramainya pendekar Melayu-Islam Umno-Pas dalam PN, tetapi mereka boleh ditundukkan dan dibisukan oleh hanya dua orang panglima MCA yang jauh lagi berani.

Berpuluh tahun Pas mengidam menjadi Menteri dan Kerajaan, apabila di sidang Parlimen pertama hanya berani duduk sehari tanpa menjawab soalan.

Bagaimanakah Islam akan dibela dan ditengakkan seperti dijanjikan di masjid serta surau di kampung-kampung dalam sidang satu hari?

Sebenarnya panglima Melayu-Islam PN lebih mementingkan lantikan Menteri dan GLC dari berhujah memberi jawapan di Parlimen.

Rakyat telah melihat Singa yang pernah mengaung begitu kuat di kampung dan desa, telah menjadi anak kuching Siam yang rupawan serta lemah gemalai di Putrajaya.

Perjalanan lumayan dari kampung ke Putrajaya telah melemahkan semangat serta suara yang garang di kampung, menjadi ulama bisu di persada kekuasaan Kerajaan Malaysia.

Dalam Islam, ulama yang bisu adalah amat mengecewakan kerana selemah-lemah keimanan seseorang hendaklah ia menegakkan kebenaran dengan suara apabila sudah menjadi Kerajaan di Parlimen .

Dahulu pemimpin Pas menyatakan mereka perlu dipilih rakyat kerana mereka memerlukan kuasa untuk membuat perubahan.

Adakah setelah berkuasa, melalui Kerajaan pintu belakang, kuasa tersebut telah merubah Pas di bawah kerajaan yang hanya tinggal nama Melayu-Islam sahaja?