Malaysia Dateline

Ke mana hala tuju pelajar gagal SPM? Menteri ini galak sertai program keusahawanan

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar menggalakkan pelajar yang gagal peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyertai pelbagai program keusahawanan yang disediakan oleh kementerian diterajuinya.

Menurut pemimpin Umno itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa membuka peluang kepada belia tanpa mengira latar belakang dalam usaha membantu meningkat taraf hidup, selain menjana ekonomi.

“Belia di luar sana kena dekati KUSKOP kerana KUSKOP ada menyediakan pelbagai program untuk bantu usahawan dalam kalangan belia.

“Kalau kata belia hendak mula berniaga, tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tiada tempat niaga, tiada lesen niaga pun, boleh mohon dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

“Ini kerana kita ada satu program iaitu Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di TEKUN, jadi kita akan bantu belia,” dipetik BH.

Noh berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Selangor, di Shah Alam hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, baru-baru ini bahawa seramai 45,526 orang calon tidak layak mendapat sijil SPM ekoran gagal mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sejarah atau kedua-duanya.

Untuk rekod, keputusan SPM 2021 menyaksikan seramai 70,455 pelajar gagal atau tidak menduduki peperiksaan sekaligus tidak boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.

Baca juga Bangga tunjuk keputusan SPM semua G dan TH, orang ramai bimbang trend ‘sakit’ ini

Baca juga “Walaupun tak ada A dalam SPM, yang penting dapat laki!” – Ibu bangga anak tak dapat A