Ke mana janji dua lagi Hospital di Johor Selatan

Ke mana janji dua lagi Hospital di Johor Selatan

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pernah menjanjikan dua hospital kerajaan untuk dibina di kawasan Iskandar Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke -11 (RMK11) bagi menampung keperluan penduduk yang semakin padat, malangnya hingga kini janji itu tidak menjadi kenyataan.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, dalam satu kenyataan hari ini, ingin tahu adakah cadangan kerajaan negeri Johor akan melaksanakan janji itu bersama Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurutnya ketiga-tiga hospital di Wilayah Selatan, iaitu Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSA), Hospital Sultan Ismail dan Hospital Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim Kulai, sudah tidak mampu menampung jumlah pesakit yang semakin ramai.

Perkara tersebut katanya telahpun beliau bangkitkan dalam persidangan Parlimen baru-baru ini. Menurut maklum balas yang di terima daripada YB Datuk Seri Dr. S.Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia, kadar penggunaan katil HSA telah mencapai tahap 93% dan terdapat keperluan untuk menaiktaraf fasiliti di sana.

Jawapan tersebut katanya turut menyebut usaha-usaha untuk menaiktaraf HSA dan membina semula sebahagian fasiliti HSA telah dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun 2005 sehingga sekarang dan ianya akan diteruskan selanjutnya bagi disesuaikan dengan keperluan.

Menteri Kesihatan juga memberitahu beliau, dalam RMK-10, sebanyak 3 projek telah dilaksanakan di HSA dengan nilai kos keseluruhan sebanyak RM30,073,840.00 termasuk membekalkan Peralatan Brainsuite bagi Perkhidmatan Neurosurgeri HSA.

“Sebanyak 5 projek lagi yang telah diluluskan dan sedang dalam peringkat pelaksanaan.

“Ini termasuk Projek Pembinaan Bangunan Baru Jabatan Patologi HSA yang sedang di peringkat memuktamadkan rekabentuk terperinci dan dijangka untuk tender sebulum hujung tahun 2016. Selain itu, di dalam tahun 2015, terdapat sebanyak 8 projek naiktaraf kecil yang telah diluluskan dengan jumlah nilai RM2,272,550,” katanya

Di dalam rolling-plan 1 RMK-11 pula katanya, KKM juga bercadang untuk membina Pusat Rawatan Harian (ACC) dan Kompleks Pakar Hospital Sultanah Aminah.

“Tetapi cadangan tersebut adalah melalui kaedah penswastaan / “land swap” tanah milik KKM di Tampoi. Kertas kerja cadangan penswastaan tersebut telah dikemukakan oleh KKM kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) pada bulan 4 Mac 2016 untuk dipertimbangkan,” katanya

Beliau turut menjelaskan, kerajaan negeri Johor juga telah memohon pembinaan Hospital Sultanah Aminah Dua di atas tapak milik KKM di Tampoi dan Pasir Gudang.

“Menteri Besar Negeri Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah membuat pengumuman tersebut pada tahun 2014. T

“ujuan cadangan ini adalah untuk menyelesaikan masalah pesakit yang terlalu ramai di tiga hospital kerajaan di kawasan Iskandar Malaysia termasuk HSA, Hospital Sultan Ismail dan Hospital Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim Kulai. [1], ” katanya.

Baginya, sokongan penuh perlu diberi kepada cadangan kerajaan negeri Johor kerana di hospital kerajaan rawatan dapat diberikan secara percuma kepada semua rakyat khususnya rakyat Johor yang kini terbeban dengan kos sara hidup yang semakin menekan kehidupan mereka.

“Pada ketika kini sudah terdapat banyak hospital swasta di dalam Wilayah Iskandar Malaysia, jadi sudah sampai masanya kerajaan pusat menambah dua lagi hospital kerajaan di sini untuk kegunaan dan kemudahan rakyat jelata,” katanya.

TAGS