Malaysia Dateline

Ke mana perginya Duta Khas PM ke Timur Tengah sejak dilantik?

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipersoalkan peranan dan keberadaanya yang dilihat ibarat hilang jejak sejak Presiden Pas itu dilantik ke jawatan bertaraf Menteri itu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, Abdul Hadi yang diharap dapat membawa lebih banyak pelaburan ke Malaysia disebabkan keadaan ekonomi yang meleset, nampaknya hanya memilih untuk berdiam diri.

“Kita memang berharap sangat Hadi dapat pergi ke Timur Tengah menggunakan pengaruh beliau untuk menarik pelabur ke Malaysia.

“Tetapi malangnya sehingga hari ini kita belum mendengar satu misi perdagangan mahupun pertemuan dengan pelabur-pelabur Arab untuk dibawa ke Malaysia,” katanya dalam satu temubual membincangkan ‘Misteri Kehilangan Haji Hadi dan RUU35’.

Tambah Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu lagi, Abdul Hadi harus memanfaatkan hubungan baik yang pernah dibina antara Arab Saudi dan Malaysia.

Namun, beliau mempersoalkan mengapa hubungan baik bersama negara itu tidak dimanfaatkan biarpun kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini terdiri daripada Umno dan Pas.

Walhal, kata Raja Kamarul, hubungan antara kerajaan Arab dan Malaysia begitu akrab sehingga didakwa pernah menderma berbilion ringgit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Dahulu, negara Arab Saudi boleh datang membantu kerana Najib ada hubungan akrab dengan Raja Saudi sehingga dapat menderma berbilion ringgit kepada beliau.

“Jadi, kenapa dengan jalinan baik Najib, kerajaan tidak dapat menyambung jalinan mesra antara PN dengan Duta Khas ke negara Arab ini untuk mendapatkan lebih banyak pelaburan ke Malaysia.

“Kalau dia boleh beri dana khas sebagai satu derma kepada Najib, kenapa tidak kepada Malaysia?,” soal bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu lagi.