Ke mana saya mahu pergi, kata Suraya dari Somalia…

Ke mana saya mahu pergi, kata Suraya dari Somalia…
Suraya tidak tahu ke mana mahu pergi selepas dibuang kerja dan dihalau dari rumah sewanya selepas hilang pekerjaan dan duitnya habis.

Suraya, 23 tahun, berasal dari Kismayo, Somalia. Beliau datang ke Malaysia tiga tahun lalu untuk mencari pekerjaan kerana kehidupan yang susah di negaranya.

Ketika sampai beliau bekerja sebagai pembantu restoran dan menyewa bilik di sebuah pangsapuri kos sederhana daripada pendatang Arab di sekitar Gombak.

Namun apabila kerajaan bertukar dan penguatkuasaan terhadap pekerja asing dikenakan, Suraya dibuang dari tempat kerjanya kerana tidak mempunyai sebarang permit kerja.

Selepas tidak mempunyai duit lagi, Suraya dihalau dari rumah sewanya kerana tidak mampu lagi membayar sewa.

Hasilnya, Suraya terpaksa merayau-rayau di kawasan kejiranan dekat Gombak tanpa hala tuju.

Ketika ditemui oleh seorang aktivis kemanusiaan, Suraya sudah boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris mudah.

Menurut Suraya, dia belajar Bahasa Inggeris apabila menonton TV dan perbualan dengan orang lain sejak sampai ke Malaysia 3 tahun lalu.

Kini Suraya tidak tahu ke mana pergi kerana beliau kehilangan pasport dan juga pekerjaan dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Di kejiranan Medan Idaman, Gombak, ramai sekali pendatang dari Somalia dan negara Afrika yang lain tinggal di situ.

“Kami tidak kenal siapa mereka,” kata Lin Yee seorang penduduk yang tinggal di kawasan itu.

Bagi beliau dan penduduk tempatan yang lain, mereka satu ancaman kerana sikap dan budaya yang berbeza.

Selain yang mempunyai pengenalan diri yang sah, ada juga orang seperti Suraya yang datang tanpa pengenalan diri yang sah yang datang dengan impian tinggi mahu membaiki kehidupan mereka.

Ketika datang ke Malaysia dahulu, Suraya mendakwa beliau membeli sendiri tiket kapal terbang untuk ke Malaysia.

Selain dari pendatang Somalia, Malaysia juga dipenuhi dengan pendatang dari Bangladesh, Myanmar dan juga Kemboja.

Ramai antara mereka tinggal di sekitar Gombak dan Selayang. Antara mereka bekerja secara tidak sah di kedai-kedai di Pasar Borong dan juga Pasar Harian Selayang.

Selepas lama bekerja membantu kedai, mereka kini mula berniaga sendiri dengan menjual barangan harian di pasar itu.

Apabila penduduk tempatan membuat bantahan, pihak berkuasa khasnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak merampas barang dagangan mereka.

Hampir setiap hari DBKL mengambil tindakan merampas barangan perniagaan mereka walaupun tidak mempunyai kuasa terhadap pendatang ini.

Jika operasi dibuat dengan pihak Imigresen, pekerja dan peniaga asing tanpa permit ini ditahan di samping barangan perniagaan mereka dirampas.

Sesetengah pendatang dari Myanmar pula adalah komuniti yang mendapat perlindungan dari UNHCR selepas mereka lari dari kegananasan di tanah air mereka.

Sehingga kini, kerajaan baharu Pakatan Harapan masih belum mempunyai dasar yang jelas dengan pendatang tanpa izin ini.

Ramai yang mendesak agar pendatang asing ini dihantar balik ke negara asal mereka namun banyak pihak juga mahu mereka diberikan peluang bekerja secara sah kerana banyak sektor di Malaysia memerlukan pekerja asing.