Malaysia Dateline

Keabsahan kerajaan boleh dipersoal selepas Ordinan Darurat terbatal, kata Najib

Pengumuman pembatalan Ordinan Darurat yang dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada semalam, dianggap amat mengelirukan rakyat dan Dewan.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak berkata, pengumuman itu juga menimbulkan persoalan tentang keabsahan kerajaan dari 21 Julai hingga 1 Ogos.

“Penjelasan yang tepat dan terperinci perlu segera diterangkan sebelum perkara itu menimbulkan lebih banyak kekeliruan dan persoalan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Berikutan pengumuman itu juga, Najib mengutarakan tiga persoalan sama ada kerajaan telah bertindak mengikut proses undang-undang atau tidak, untuk membatalkan ordinan tersebut.

“Apa-apa pembatalan Ordinan Darurat mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan digazetkan. Ini tidak dijelaskan

“Yang kedua, sama ada pembatalan ordinan ini boleh dibuat secara dikebelakangkan (backdated). Apa-apa tindakan diambil pihak berkuasa selepas 21 julai itu adakah boleh dipersoalkan atau terbatal dari segi undang-undang

“Ketiga, enam ordinan termasuk ordinan utama iaitu Ordinan Induk Darurat 2021 dibatalkan. Ini boleh menimbulkan soal keshihan dari segi undang-undang dan keabsahan kerajaan dari 21 Julai hingga 1 Ogos,” katanya.

Najib turut menekankan bahawa pembatalan Ordinan Darurat perlu dilakukan mengikut proses undang-undang dengan cara Kabinet menasihati Agong, sehingga mendapat perkenan dan barulah ianya digazetkan.

Sehingga hari ini, isu pembatalan Ordinan Darurat yang diumumkan secara tiba-tiba di Dewan Rakyat semalam masih menjadi perdebatan blok pembangkang.

Kerajaan terus menerima tekanan untuk menjelaskan berhubung isu tersebut, namun sehingga hari ini tiada seorang dari Kabinet yang bertindak menjawab persoalan diutarakan.