Keabsahan PM Anwar letak kompas pentabiran negara di landasan betul

Oleh ARIF ATAN

Semalam, usul mengesahkan keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 (PM10) Malaysia telah mendapat sokongan dua pertiga majoriti Ahli Dewan Rakyat (MP).

Usul undi percaya terhadap PM tersebut dibuat bagi menghilangkan segala keraguan terhadap kesahihan Anwar Ibrahim sebagai PM memandangkan sebelum ini Perikatan Nasional (PN) mendakwa mendapat majoriti.

Ternyata dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak berasas dan hanyalah permainan politik terdesak.

Sebelum usul undi percaya tersebut dibuat, satu perjanjian atau memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara lima parti komponen yang menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim yang mana antara lain memperuntukkan kewajipan menyokong undi percaya tersebut.

MoU ini telah dicabar oleh Pemuda PN sebagai melanggar undang-undang Seksyen 124B dan 124C Kanun Jenayah kononnya memudaratkan amalan demokrasi dan Seksyen 24 Akta Kontrak kononnya objek MoU ini bercangah dengan undang-undang atau melanggar polisi awam.

MoU ini antara lain memperuntukkan setiap parti komponen Kerajaan Perpaduan menyokong usul undi percaya terhadap PM.

Ia secara tidak langsung dapat menghalang perbuatan mana-mana MP mengundi berlawanan dengan keputusan parti demi mempertahankan semangat undang-undang anti lompat parti.

Jika perbuatan mengundi mengikut kehendak sendiri MP ini dibenarkan, ia sama sekali melanggar undang-undang anti lompat parti.

Memandangkan undang-undang anti lompat parti ini terkandung dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, maka undang-undang ini adalah sah dan berperlembagaan.

Oleh sebab itu, MoU ini tidak bertentangan dengan amalan demokrasi berparlimen dan oleh itu Seksyen 124B dan 124C Kanun Jenayah tidak terpakai.

Lagipun, MoU ini dibuat dengan persetujuan dan tanpa paksa, maka dakwaan Pemuda PN yang mengatakan MoU ini dibuat bagi memaksa MP mengundi menyokong usul undi percaya ini adalah tidak berasas kerana MoU ini dibuat selaras dengan semangat undang-undang anti lompat parti.

Memandangkan undang-undang anti lompat ini sah di sisi undang-undang, maka tiada pelanggaran Seksyen 24 Akta Kontrak kerana objeknya tidak melanggar polisi awam atas alasan MoU ini dibenarkan undang-undang (undang-undang anti lompat parti).

MoU dan usul undi percaya ini penting bagi menjamin kestabilan politik yang menjadi persoalan pokok dalam pentadbiran negara sejak Langkah Sheraton dibuat PN.

Kestabilan politik penting untuk memastikan pemulihan ekonomi dapat dibuat terutama membina semula keyakinan pelabur asing ke dalam negara.

Langkah Sheraton telah menyebabkan kemerosotan ekonomi kepada negara sehingga nilai ringgit jatuh teruk yang memberi kesan kepada poket dan perut rakyat akibat kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Masalah pekerjaan dan gaji adil masih menghantui golongan muda yang perlu penyelesaian segera. Maka, kestabilan politik adalah kunci kepada langkah pemulihan ini.

Justeru, MoU dan usul undi percaya tersebut penting untuk meletakkan halatuju pentadbiran di landasan yang betul.

Kompas politik dan pentadbiran negara perlu jitu dan tepat supaya pentadbiran negara dapat berjalan dengan baik dan tuntas.

MoU dan usul undi percaya ini penting yang menunjukkan sokongan penuh parti-parti komponen kerajaan perpaduan terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim dan agenda reformasi yang diperjuangkan Pakatan Harapan.

Baca juga Tak puas hati istilah Kerajaan Perpaduan: Rafizi sindir pembangkang rujuk pada Pagoh dan Marang