Malaysia Dateline

Keabsahan status PM: Pemuda Umno buat laporan polis

Pemuda Umno membuat laporan polis hari ini berhubung keabsahan status Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu hanya mempunyai sokongan 100 ahli Dewan Rakyat ekoran penarikan balik sokongan Umno.

Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan 14 akuan ahli Dewan Rakyat menarik sokongan terhadap Mahiadin.

Asyraf turut mendesak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun menafikan surat kepada Istana Negara yang tular berhubung dakwaan Mahiadin mempunyai 100 sokongan.

“Pemuda Umno meminta agar Yang Dipertua Dewan Rakyat segera menafikan surat yang ditularkan, walaupun dalam MalaysiaPortal menyebut beliau tidak mahu komen mengenainya kerana melibatkan Istana Negara.

“Kegagalan melakukannya hanya mengesahkan surat tersebut dan menzahirkan bahawa Perdana Menteri secara rasmi sudah sah hilang majoriti,” dipetik Malaysiakini.