Keadaan belum memaksa penubuhan kerajaan perpaduan di Terengganu

Keadaan belum memaksa penubuhan kerajaan perpaduan di Terengganu

Bersandarkan senario semasa politik tempatan, Terengganu sebenarnya belum bersedia untuk menerima MB ketiga dalam tempoh tiga tahun setelah selesai pilihanraya umum ke 13 pada Mei 2013.

Akhirnya selesai jua krisis politik Terengganu yang tercetus apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menarik semua anugerah darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman dua minggu lepas.

Walaupun jawatan MB tiada kena mengena dengan gelaran darjah kebesaran, tetapi hakikatnya adalah apabila berlaku penarikan balik darjah tersebut oleh pihak Istana maka interpretasinya adalah hubungan diantara Istana dengan Ahmad Razif menimbulkan spekulasi yang tidak sihat.

Sudah menjadi tradisi dan keperluan dimana hubungan yang baik diantara MB dan pihak Istana berada dalam keadaan yang terbuka kerana untuk mentadbir sebuah negeri dengan efisyen, saluran komunikasi kedua-dua pihak ini amat diperlukan diantara satu sama lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula mengumumkan Sultan Mizan telah berkenan mengekalkan Ahmad Razif sebagai MB Terengganu dan menjalankan tugas seperti biasa. Keputusan tersebut di capai setelah Najib mengadap Sultan Mizan dan ianya adalah jalan penyelesaian terbaik bukan sahaja untuk Umno Terengganu tetapi demi kesejahteraan negeri dan rakyat Terengganu.

Bersandarkan senario semasa politik tempatan, Terengganu sebenarnya belum bersedia untuk menerima MB ketiga dalam tempoh tiga tahun setelah selesai pilihanraya umum ke 13 pada Mei 2013.

Terdapat tiga lagi jalan penyelesaian kemelut MB selain mengekalkan Ahmad Razif iaitu sama ada memilih calon MB baharu dikalangan Adun Umno, mengadakan pilihan raya negeri dengan membubarkan Dun atau menubuhkan kerajaan perpaduan dengan pembangkang iaitu Pas.

Keujudan keempat-empat pilihan tersebut adalah kerana satu faktor iaitu pemilikan kerusi oleh kerajaan memerintah iaitu Umno hanya 17 berbanding 14 yang dimiliki oleh Pas dan 1 kerusi PKR.

Umno seboleh-bolehnya mahu mengekalkan status-quo dengan Ahmad Razif sebagai MB kerana kemelut ini timbul bukan kerana beliau telah kehilangan sokongan dari Adun atau kepimpinan tertinggi Umno. Sebab itu juga diunjurkan pilihan mengekalkan Ahmad Razif atau pilihan MB baharu adalah keutamaan pilihan Umno kerana kedua-duanya masih mengekalkan Umno sebagai kerajaan yang mentadbir Terengganu.

Sementara bagi Pas pula kedua-dua pilihan tersebut sebenarnya tidak memberi kesan sama ada negatif atau positif kerana parti itu tetap dengan status parti pembangkang yang kuat di Dun tersebut.

Sementara pilihan ketiga iaitu mengadakan pilihan raya negeri sebenarnya hanya akan memberi manfaat kepada dua parti sahaja iaitu PKR dan Amanah kerana pada ketika ini hanya PKR yang memiliki 1 kerusi dan sudah semestinya pilihan raya menjadi pilihan kedua-dua parti tersebut.

Sementara bagi Umno dan Pas pula yang masing-masing sedang berhadapan kemelut dalaman parti, pilihanraya negeri terutama sekali di Terengganu sudah pasti akan dihindarkan dari berlaku.

Ada juga pihak yang berpendapat pilihan yang terakhir iaitu penubuhan kerajaan perpanduan diantara dua parti iaitu Umno dan Pas adalah jalan terbaik kerana mungkin inilah masanya kerjasama kedua-dua parti ini boleh direalisasikan.

Hakikatnya bukan sahaja rakyat Terengganu yang mahu melihat kedua-dua parti ini bekerjasama tetapi rakyat Malaysia juga ternanti-nanti bila ianya akan menjadi realiti.

Tetapi buat ketika ini Umno masih mengekalkan majoriti kerusi Dun dan dibenarkan menubuhkan kerajaan negeri berasaskan dalil tersebut. Memang benar juga kedua-dua kepimpinan tertinggi Umno dan Pas sering bertemu dan berbincang mengenai kerjasama kedua-dua parti tetapi untuk menubuhkan kerajaan perpaduan ianya memerlukan persefahaman yang lebih konkrit.

Demi untuk mengelak masalah masa hadapan yang akan timbul ekoran penubuhan kerajaan perpaduan secara tergesa-gesa, maka sebab itu dinilai pilihan terakhir ini walaupun dianggap terbaik tetapi belum tiba masanya.

Ini adalah kerana kejayaan kerajaan perpaduan akan hanya dapat dicapai jika penubuhannya berasaskan kerjasama konkrit pihak yang terlibat dan bukannya kerana keadaan yang terdesak. Ini adalah untuk mengelak sama ada Umno atau Pas mengambil kesempatan ekoran masalah yang diahadapi oleh rakan mereka.

Tetapi episod kemelut MB Terengganu telah mempamirkan kebijaksanaan Sultan Mizan dalam membuat keputusan mengekalkan Ahmad Razif sebagai MB kerana Baginda sebenarnya mempunyai banyak pilihan lain tetapi telah memilih jalan yang mampu menstabilkan politik Terengganu.

Begitu jua dengan tingkah laku Ahmad Razif yang mengambil sikap akan menerima apa sahaja keputusan Sultan dan Najib patut diberi pujian kerana beliau tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

Parti pembangkang Terengganu terutama sekali Pas dan begitu jua dengan PKR dan Amanah juga harus di beri pujian kerana tidak mengambil kesempatan dengan tidak menangguk air yang keroh.

TAGS