Malaysia Dateline

Keadilan arwah Adib akan terbela melalui proses perundangan

Semua pihak harus sedar bahawa keadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, akan terbela melalui proses perundangan.

Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi AMANAH Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim menasihati semua, agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan susulan bagi membawa mereka yang bertanggungjawab untuk diadili.

Katanya, keputusan inkues juga menunjukkan bahawa setiap fakta, bukti dan saksi yang tampil semasa perjalanan inkues telah diambil kira.

“Keputusan inkues tersebut telah menjawab punca kematian arwah Adib yang menjadi perhatian umum.

“Dalam pada itu, AMANAH Perak ingin mengingatkan kepada rakyat Malaysia agar tidak mengaitkan isu ini dengan isu perkauman seperti yang pernah dilakukan sesetengah pihak sebelum ini.

“Semoga rakyat Malaysia dapat mengambil iktibar daripada kes ini dan berharap agar kejadian seperti itu tidak lagi berulang pada masa hadapan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Hasnul yang mewakili AMANAH Perak berpendirian agar semua pihak menghormati keputusan yang diumumkan Mahkamah Koroner, semalam.

Memetik laporan media tempatan pada semalam, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Koroner Rofiah Mohamad ketika membacakan keputusan itu berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian, boleh diterima serta ada asas, selain ia disokong saksi ke-30 yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Beliau berkata, pihaknya turut menolak teori dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dilanggar.

Katanya, keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul di mana ia membabitkan kira-kira 20 hingga 30 lelaki.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.