Keadilan Ulama Hadis Dalam Menilai Insan

Keadilan Ulama Hadis Dalam Menilai Insan

Manusia adalah makhluk Allah yang mempunyai kelemahan. Selain daripada Nabi, tiada manusia yang boleh mendabik dada bahawa dirinya maksum tidak ada kesilapan.

Inilah prinsip yang dipegang oleh ulama hadis ketika menilai insan yang menjadi perawi hadis. Kehebatan seseorang tidak menjadikannya sunyi daripada kesilapan. Namun ia tidak menjadikan pandangan dan riwayat mereka ditolak secara total. Sebaliknya kesilapan mereka ditolak namun kebaikan dan manfaat ilmu mereka yang lain tetap diterima.

Ibn ‘Adi menukilkan dari Amru bin Ali ketika memberi komentar kepada kedudukan Abu Daud al-Tayalisi pengarang Musnad:

وله أحاديث يرفعها، وليس بعجب من يحدث بأربعين ألف حديث من حفظه أن يخطئ في أحاديث منها، يرفع أحاديث، يوقفها غيره، ويوصل أحاديث، يرسلها غيره، وإنما أتى ذلك من حفظه، وما أبو داود عندي وعند غيري إلا متيقظ ثبت.

Beliau mempunyai beberapa hadis yang beliau sandarkan kepada Nabi, tidaklah pelik bagi seseorang yang meriwayatkan 40 ribu hadis dari hafalannya akan tersilap dalam beberapa hadis. Beliau meriwayatkan hadis secara marfu’ (menyandarkannya kepada Nabi) sedangkan perawi lain meriwayatkannya secara mauquf (menyandarkannya kepada sahabat), beliau ada meriwayatkan hadis secara mausul (sanad bersambung) sedangkan orang lain meriwayatkannya secara mursal (sanad terputus). Sesungguhnya itu kerana dia meriwayatkan hadis dari hafalannya. Tidaklah Abu Daud di sisiku dan di sisi orang lain melainkan seorang yang cergas dan kukuh ingatan. (Al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal)

Abdul Rahman bin Mahdi mengatakan:

من يبرئ نفسه من الخطأ فهو مجنون

Sesiapa yang menganggap dirinya suci dari silap maka dia gila. (Al-Adab al-Syar’iyyah)

Sumber asal : https://www.facebook.com/DrRozaimiRamle/posts/2352477381446415