Malaysia Dateline

Keadilan untuk yang miskin dan yang kaya

Keadilan untuk semua makhluk Allah dituntut dalam Islam tidak kira miskin atau kaya serta agama dan bangsa. Beberapa insiden tempatan dan antarabangsa membimbangkan kita tentang keadilan yang wujud di Malaysia dan dunia hari ini.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pembebasan oleh Mahkamah, Rizal Aziz, anak tiri kepada Datuk Seri Najib Razak, bekas Perdana Menteri, dalam kes melibatkan sekitar RM1 bilion wang rakyat. Tidak pernah perkara sebegini berlaku di Malaysia.

Dipercayai beliau dilaporkan perlu membayar balik kepada kerajaan Malaysia hanya RM465 juta walaupun wang pengubahan haram terbabit dipercayai melebihi RM1 billion, iaitu lebih sekali ganda yang akan dipulangkan. Beliau tidak dikenakan apa-apa tindakan lain dan dibebaskan. Dengan bersetuju memulangkan wang tersebut ini adalah merupakan pengakuan wang terlibat telah diambil secara haram.

Bandingkan kes ibu yang mengambil susu untuk anak kecilnya yang lapar dan anak muda yang mencuri setin sardin dikenakan denda dan penjara.

Di manalah letaknya keadilan undang-undang.

Isyarat diterima oleh masyarakat adalah dua pendekatan undang-undang antara dua derajat wujud untuk yang miskin dan yang kaya. Yang kaya dan mampu dibebaskan dan yang miskin serta susah terus dihimpit kesempitan demi kesempitan di Malaysia.

Di Amerika Syarikat pula, seorang rakyat kulit hitam George Loyd, seorang pembawa lori, dibunuh oleh polis tanpa belas kasihan yang dirakam video kerana disyaki penipuan USD 20 (RM 85). Susulan peristiwa tersebut beratus ribu rakyat anak muda tidak kira warna kulit serta agama dan bangsa keluar berdemostrasi seluruh negara.

Rakyat Amerika lebih peka akan ketidakadilan yang berlaku di negara mereka.

Presiden Amerika yang tidak bersungguh-sungguh membela pembunuhan George Floyd tersebut telah berjalan kaki ke Gereja berdekatan White House untuk berucap menentang perhimpunan aman berbagai kaum untuk George Floyd dengan memegang kitab Bible Christian yang dijulang tinggi.

Tindakan Presiden Amerika ini, yang juga menyokong cara terbuka puak extremis perkauman kulit putih, telah dikecam oleh pihak Gereja kerana memperalatkan agama dan Gereja. Presiden Amerika Trump akan menghadapi pilihan raya bulan November ini.

Di Malaysia pula bekas seorang Perdana Menteri Malaysia juga pernah mengangkat sumpah di masjid depan al-Quran menafikan penglibatan dalam satu skandal di mana rakyat mengetahui nama beliau dikait luas secara terus atau bersabit dengan kes tersebut.
Agama dan masjid digunakan juga oleh orang politik di Malaysia. Parti Umno iaitu parti bekas Perdana Menteri Malaysia juga mempunyai sikap perkauman yang tebal terhadap rakyat

Rakyat Malaysia harus mempelajari sesuatu dalam kes mahkamah dan pihak berkuasa yang memberi pendekatan berbeza untuk miskin serta kaya dan Presiden serta Perdana Menteri yang menggunakan agama dan perkauman bagi tujuan politik mereka.

Agama melalui masjid tidak patut digunakan oleh ahli politik seperti dari Pas untuk kepentingan parti atau politik supaya kesucian tempat Ibadah dipeliharai.

Malangnya masjid dan ayat al-Quran diperalatkan untuk mengelirukan rakyat oleh parti tertentu bagi kepentingan mereka.

Rakyat makin bertambah keliru apabila parti tersebut telah menjadi kerajaan pusat isu seperti hukum hudud, RUU 355 dan pusat judi Casino Genting telah hilang dari mulut pimpinan parti tersebut.

Keadilan Mahkamah mestilah sama untuk yang miskin dan kaya terutamanya di musim ekonomi yang amat lemah ini. Tidak adil yang mengambil wang beratus juta dengan pengaruh politik, seperti Rizal Aziz, boleh hanya memulangkan sebahagian dari wang tersebut dan dibebaskan.

Yang miskin dan terdesak terpaksa mengambil susu di kedai untuk anak kecil kelaparan disaman dan dipenjarakan.

Islam berlaku adil dan menyalahkan pemerintah dan jiran jika rakyat di biarkan lapar.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengakui diri sebuah kerajaan Melayu Islam dan janganlah ini di gunakan untuk mengelirukan rakyat.

Islam bukan terletak atas namanya semata-mata, tetapi nilai dan ajarannya mesti dipraktikan dengan sebaik-baiknya mengikut ajaran Islam.

Dengan menggunakan masjid dan al-Quran boleh memperdayakan rakyat tetapi ia tidak menghalalkan perbuatan yang salah di mata Allah.

Anak muda di Amerika telah keluar beramai-ramai membantah ketidakadilan pemerintah.

Anak muda Malaysia perlu lebih prihatin dan celik isu semasa kerana mereka yang berusia 18 tahun akan mengundi pada PRU15 nanti.

Masa hadapan Malaysia adalah untuk generasi muda. Sedarlah akan tanggung jawab anda untuk menuntut keadilan dan marilah kita membina Malaysia baharu bersama.

* Raja Kamarul Bahrin Shah adalah Pengerusi AMANAH Terengganu.