Malaysia Dateline

Keahlian AMANAH di DUN Beting Maro cecah 3,000 orang

Keahlian untuk menyertai Parti AMANAH Negara di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro kini mencecah seramai 3,000 orang.

Menurut Pengerusi AMANAH Cawangan Beting Maro, Haji Kassim Rosli, jumlah itu merupakan yang telah diluluskan selepas didaftar melalui Pejabat AMANAH Sarawak di Kuching.

Beliau berkata, secara dasarnya ahli-ahli yang berdaftar berkenaan merupakan golongan nelayan, suri rumah, belia selain anak-anak kampung di sekitar kawasan Beting Maro yang bekerja di luar.

“Setakat ini, jumlah keahlian AMANAH adalah seramai 3,000 orang. Ini adalah sesuatu yang amat baik untuk kita memperjuangkan nasib rakyat di Beting Maro.

“Ini ditambah lagi, kerajaan negeri sedia ada di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah gagal sama sekali menyelesaikan banyak isu terutamanya masalah air di DUN Beting Maro,” ujar beliau ketika ditemui hari ini.

Untuk itu, Haji Kassim menambah, beliau menjangkakan lebih ramai lagi yang bakal menyertai AMANAH dalam masa terdekat nanti.

Mengenai cawangan yang berjaya ditubuhkan, beliau menjelaskan setakat ini sebanyak 15 cawangan telah lulus didaftarkan manakala lima masih dalam proses serta tiga lagi dalam penubuhan.

“Alhamdulilah…ternyata parti AMANAH kini menjadi platform penduduk dan masyarakat di Beting Maro dalam memperjuangkan hak-hak khususnya berkaitan isu-isu di kampung.

“Bayangkan 56 tahun, isu air di sini tiada kesudahannya walapun setiap kali menjelang pilihan raya kerajaan berjanji akan menyelesaikannya.

“Ramai penduduk yang juga merupakan pengundi tegar GPS kecewa dengan masalah air yang terus berpanjangan di kampung-kampung mereka,” ujarnya.

Tegas beliau lagi, AMANAH Beting Maro sentiasa membuka pintu kepada pengundi untuk bersama-sama memperjuangkan nasib rakyat di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 akan datang.